Mahathir nafi ketuai kempen BN di Penanti

Diterbitkan: Rabu, 22 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan bahawa beliau akan mengetuai kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Sebaliknya kata Dr. Mahathir, beliau hanya mengatakan bahawa BN hendaklah bertanding pada pilihan raya kecil negeri itu.

"Itu sahaja. Saya tidak mengatakan saya tawar diri untuk mengetuai kempen, menurut akhbar," kata beliau yang dipetik Bernama.

Beliau telah membantu kempen BN ketika pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau 6 April lalu.

Mengenai kos yang tinggi untuk mengadakan pilihan raya antara sebab BN mungkin tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu, kata Dr. Mahathir, itu adalah sebab-sebab yang munasabah tetapi ini semua bergantung kepada parti.

"Ini pandangan saya (untuk bertanding). Saya bukanlah yang memutuskan semua ini.

"Jika anda menanyakan kepada saya, Saya beri pandangan saya. Itu sahaja, anda tidak perlu mengikut saya," kata beliau.

Terdahulu beliau berucap pada Siri Ceramah Kepimpinan Malaysia MSC bertajuk "The MSC and Leadership in the Information Age" di sini hari ini.

Ditanya mengenai minat yang tinggi oleh penduduk Johor untuk menggantikan jambatan berkenaan (jambatan bengkok kepada jambatan lurus), katanya, projek Iskandar akan benar-benar dilaksanakan.

"Tetapi jika anda tidak membina jambatan itu, dengan kesesakan jalan raya, yang bertambah buruk dan CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) tidak boleh digunakan sewajarnya kerana anda menukar arahan, jadi itulah masalah yang kita hadapi," kata beliau.

Mengenai isu lain, Dr. Mahathir berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak membuat keputusan dan beliau tidak campur tangan dalam pentadbiran negara.

Kata Dr. Mahathir, beliau tidak dirujuk bagi sebarang isu dan kerajaan bebas untuk membuat apaapa keputusan.

"Saya tidak dirujuk bagi setiap isu. Pada Hakikatnya saya sebenarnya tidak dirujuk.

"Hanya satu cara saya boleh cadangkan mengenai idea saya ialah dengan menjawab soalan daripada media dan menulis dalam blog.

"Jika anda bertanya kepada saya, saya terpaksa jawab dan mungkin jawapan saya tidak sama seperti apa yang difikirkan oleh Perdana Menteri. Tetapi ini tidak bermakna bahawa saya membantah kepada beliau.

"Beliau ada hak untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata, jelas menunjukkan bahawa Najib tidak bergantung kepada beliau terutamanya mengenai pelantikan menteri dan timbalan menteri.

Dr. Mahathir berkata, beliau bebas untuk memberikan pandangannya tetapi mereka tidak merujuk kepadanya bagi sebarang isu.

"Mereka tidak merujuk kepada saya, jika mereka merujuk kepada saya, sudah tentu saya beritahunya kenapa saya membuat cadangan seperti itu.

"Mereka tidak rujuk kepada saya, tetapi saya ada hak untuk bercakap," kata beliau. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan