Umno: Adnan kekal Setiausaha Agung, Bendahari muka baru?

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BELUM PASTI... Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) dan Bendahari Agung Umno, Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi (kanan) masih belum pasti mengenai kedudukan mereka dalam barisan kepimpinan baru Umno.
BELUM PASTI... Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) dan Bendahari Agung Umno, Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi (kanan) masih belum pasti mengenai kedudukan mereka dalam barisan kepimpinan baru Umno.

PETALING JAYA: Umno yang mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pertama Jumaat ini, dijangka merombak kedudukan Pengerusi Perhubungan Negeri selain mengisi jawatan kanan seperti Bendahari dan Ketua Penerangan dengan muka baru.

Mesyuarat ini merupakan yang pertama akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno baru.

Khabar angin mengatakan jawatan Setiausaha Agung Umno berkemungkinan dikekalkan oleh penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun Tengku Adnan yang juga Ketua Umno Bahagian Putrajaya enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

"Saya pun tak tahu lagi dengan status jawatan saya ini... apa-apa pun kita tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Presiden dalam mesyuarat Jumaat ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.

mStar Online difahamkan, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Mohamed Al-Amin Abdul Majid dari Perak dijangka dilantik sebagai Bendahari Umno menggantikan Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi.

Umno mengadakan pemilihan dan Perhimpunan Agung pada hujung bulan lalu.

Sementara itu, jawatan Ketua Penerangan Umno yang kini dipegang oleh Tan Sri Muhammad Muhd. Taib juga mungkin berubah tangan dengan diambil alih oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Peralihan jawatan tersebut berdasarkan pekembangan semasa berikutan Muhammad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor tewas dalam pemilihan bulan lalu.

Pelantikan Rais mungkin dilihat bersesuaian dengan portfolio barunya dalam Kabinet iaitu sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Rais juga merupakan Ketua Umno Bahagian Jelebu.

Bagaimanapun Rais, yang tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden, gagal dihubungi bagi mendapatkan komen berkenaan perkara berkenaan.

Selain itu beberapa pihak juga meramalkan Najib berkemungkinan akan melakukan rombakan terutamanya bagi jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang dilihat begitu penting dalam memainkan peranan untuk memperkukuhkan parti.

Dikatakan juga beberapa muka-muka baru akan dipertanggungjawabkan bagi memikul peranan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri selaras dengan matlamat untuk meremajakan Umno.

Bagi jawatan berkenaan, Terengganu merupakan negeri yang paling mencuri perhatian berikutan krisis kepimpinan dalaman antara pengerusinya yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Ia juga dilihat ada kaitan dengan "perang dingin" di Terengganu tercetus antara kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) penyokong bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dengan pentadbiran sekarang yang bermula sejak Ahmad memasuki pejabat Menteri Besar setahun lalu.

Sementara itu majoriti Umno Bahagian di Selangor mengharapkan supaya Najib menggantikan Muhammad sebagi Pengerusi Badan Perhubungan negeri itu bagi mengelakkan masalah tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno negeri.

Selain itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga disebut-sebut bakal menerajui kepimpinan Umno Selangor.

Kedua-dua mereka dilihat sesuai menerajui Umno Selangor kerana tanggungjawab yang bakal dipikul dilihat cukup berat terutamanya selepas tsunami politik yang berlaku pada Mac 2008 apabila Selangor yang menjadi kubu kuat Umno tewas ke tangan pembangkang.

Najib kini merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Perak.

Beliau dijangka menyerahkannya kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menang jawatan Naib Presiden.

Pun begitu Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir juga dilihat calon paling layak memegang peranan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan negeri.

Pandangan ini dilihat selari dengan kenyataan Najib di Pekan pada Sabtu lalu bahawa BN akan melantik Pengerusi Badan Perhubungan negeri bukan dikalangan Menteri Besar bagi negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh BN.

Dalam pada itu, muka-muka baru juga berkemungkinan akan dilantik menganggotai saf kepimpinan Umno di peringkat negeri seperti Perlis, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Keadaan ini berikutan keempat-empat Menteri Besar dari negeri-negeri berkenaan tewas pada pemilihan parti bulan lalu.

Empat yang berkenaan ialah Datuk Seri Dr. Md Isa Sabu (Perlis), Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan) dan Datuk Abdul Ghani Othman (Johor).

Bagi negeri Perlis, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini pernah mengesyorkan jawatanya diserahkan kepada Muhyiddin bagi mengelakkan berlakunya perpecahan di peringkat negeri.

Selain itu pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai nasib Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Ketua Bahagian Umno Kepala Batas.

Di Kelantan, mungkin tidak nampak sebarang perebutan bagi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan negeri yang kini dipegang oleh Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun mungkinkah jawatan tersebut akan bertukar tangan kepada ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed?

Ramalan ini berikutan Mustapa berjaya meraih undi tertinggi pada pemilihan jawatan MT pada Mac lalu.

Malah beliau juga masih dikekalkan dalam saf Kabinet Najib sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kedudukan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka juga masih menjadi tanda tanya.

Mohd Ali yang sebelum ini Naib Presiden Umno, dilucutkan kelayakan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno oleh Lembaga Disiplin Umno selepas didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tata Etika Ahli Umno berkaitan politik wang pada 17 Mac lepas, sembilan hari sebelum perhimpunan agung parti.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan