PM ingatkan pemimpin BN jangan amal retorik politik

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak mengamalkan retorik politik kerana ia akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap parti.

Perdana Menteri berkata rakyat amat pantang sekiranya apa yang dijanjikan kepada mereka tidak ditunaikan.

"Kalau kita katakan sesuatu, kita mesti kotakan dan pentadbiran kita akan memastikan harapan rakyat akan dapat dipastikan dengan sebaiknya," kata beliau semasa berucap pada majlis makan malam bersama pemimpin komponen BN Negeri Johor di sini malam tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN negeri Datuk Abdul Ghani Othman dan pengerusi-pengerusi parti komponen BN negeri.

Najib berkata BN harus menjadi parti nakhoda zaman di mana ia mendahalui segala perubahan yang patut dilakukan.

Oleh yang demikian, katanya BN tidak lagi boleh beranggapan bahawa situasi sekarang adalah seperti "urusan seperti biasa".

Perubahan yang perlu dibawa BN termasuk meruntuhkan tembok pemisah antara kaum dan menjadikan ia sebuah parti yang mewakili semua kaum sepenuhnya, katanya.

"Saya percaya tembok pemisah antara kaum itu akan dapat diruntuhkan," katanya melahirkan keyakinannya terhadap usaha berkenaan.

Terdahulu, Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor melahirkan sokongan padu BN Johor terhadap kepimpinan Najib dan akan berusaha untuk mempertahankan negeri ini sebagai kubu kuat BN. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan