Gambar baru Elizabeth? Polis belum terima laporan

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Polis belum menerima sebarang laporan berhubung perkembangan tersebarnya gambar-gambar 'terbaru' Exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dalam internet sejak beliau bertugas Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya hanya akan mengambil tindakan sekiranya ada laporan dibuat.

"Saya tidak mahu meramalkan apa yang bakal berlaku. Jika ada laporan dibuat baru pihak kami (polis) akan bertindak," katanya kepada mStar Online hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta orang ramai yang memiliki foto bogel Wong menyerahkannya kepada pejabat Menteri Besar atau pihak polis.

Khalid meminta kenyataan itu susulan daripada penyebaran terbaru foto Wong dalam sebuah laman blog.

Foto-foto berkenaan dipercayai sebahagian daripada siri foto Wong yang juga Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar yang tersebar meluas sebelum ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bekas teman lelaki Wong, Hilmi Malek, 32, yang dikaitkan dengan penyebaran gambar tersebut, Chin Wah berkata, polis masih gagal menjejaki lelaki berkenaan.

"Masih belum ada perkembangan dan dia (Hilmi) belum balik tapi kita percaya dia akan pulang ke Malaysia.

"Waran tangkap sudah dikeluarkan dan kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara juga diperketatkan bagi menahannya," katanya.

Waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 25 Mac lepas terhadap Hilmi telah diedarkan kepada semua pihak berkuasa yang mengawal pintu masuk negara bagi menahannya.

Hilmi yang tidak kelihatan sejak 9 Februari lepas setelah dikaitkan dengan penyebaran gambar dan klip video Wong di internet, difahamkan kini berada di Indonesia.

Pada 15 Februari lepas, Wong, 37, membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan dua hari selepas itu Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai ADUN dan anggota Exco Selangor sebelum diberi cuti rehat oleh kerajaan negeri.

Wong yang juga Ketua Penerangan Wanita PKR kembali bertugas sebagai Exco Kerajaan Negeri Khamis lepas setelah bercuti selama dua bulan berikutan penyebaran gambar-gambar separuh bogelnya di Internet.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan