DUN kecoh, usul undi tidak percaya atas Ali Rustam gagal

Diterbitkan: Selasa, 21 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Pembangkang gagal dalam percubaan membawa usul undi tidak percaya ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Usul itu ditolak oleh Speaker Dewan, Datuk Othman Muhamad pagi tadi.

Semalam, Ketua Pembangkang di DUN, Goh Leong San (DAP-Kesidang) memfailkan notis berkenaan untuk memanggil satu DUN tergempar bagi membincangkan usul berkenaan Mohd Ali.

Persidangan DUN Melaka turut kecoh dengan "perang mulut" apabila Speaker DUN menolak usul tergempar yang dikemukakan pembangkang berkaitan undi tidak percaya terhadap Ali Rustam.

Menurut Goh, usul tergembar itu berbunyi "Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan mengarahkan suatu undi tidak percaya diadakan terhadap Ketua Menteri Melaka pada persidangan yang berlangsung pada 20 hingga 23 April 2009, kerana penglibatan beliau dalam politik wang semasa pemilihan parti menunjukkan perbuatannya yang tidak beretika, tidak bermoral dan tidak menyenangkan telah menyebabkan rakyat Melaka kehilangan keyakinan serta meragui integriti terhadapnya".

Othman berkata, beliau menolak usul tergempar itu berdasarkan tiga syarat di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka iaitu (pertama) perkara tertentu, (kedua) berkehendak disegerakan dan (ketiga) kepentingan orang ramai.

"Saya telah meneliti usul ini, memang ia memenuhi syarat pertama iaitu perkara tertentu tetapi syarat berkehendak disegerakan dan kepentingan orang ramai, saya lihat ianya tidak relevan, tidak ada kaitan di situ kerana ianya tidak perlu disegerakan, ia bukan seperti bencana alam.

"Kepentingan orang ramai juga nampaknya tidak ada kaitan kerana kes ini sudah selesai, kes ini sudah tidak ada masalah lagi.

"Jadi saya mengambil keputusan usul tergempar ini saya tolak," kata Othman.

Walaupun usul berkenaan menyentuh isu yang khusus tetapi tidak memenuhi dua kriteria yang lain iaitu tidak perlu disegerakan dan bukan menyentuh kepentingan publik memandangkan ia telah pun diselesaikan oleh Umno.

Pada 17 Mac lepas, Pengerusi Lembaga Disiplin Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan tindakan melarang Mohd Ali, yang ketika itu Naib Presiden Umno, bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas lembaga itu mendapati beliau bersalah melanggar Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno.

Rayuan Mohd Ali untuk mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin itu turut ditolak oleh Panel Rayuan Umno pada 20 Mac.

Keputusan yang diumumkan oleh Othman telah menimbulkan rasa tidak puas hati Goh dan empat lagi anggota DUN dari DAP dengan mereka mendesak Othman membenarkan usul tergempar itu dikemukakan dan dibahaskan pada persidangan itu.

Dalam masa sama, anggota dewan dari Barisan Nasional yang menjadi penyokong kerajaan mendesak Speaker menolak usul tergempar itu.

Sambil mengarahkan semua anggota dewan bertenang dalam "perang mulut" kira-kira 20 minit itu, Othman berkata:

"Saya telah tolak usul ini awal-awal lagi kerana Yang Berhormat dari Kesidang (Goh) membuat tuduhan, dia kata Ketua Menteri terlibat dengan politik wang, cuba baca kenyataan Tengku Ahmad Rithauddeen (beliau) tak pernah sebut politik wang hanya etika parti," katanya.

Othman kemudiannya meminta Mohd Ali mengemukakan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob kerana sudi menyampaikan ucapan perasmian pembukaan persidangan dewan itu, semalam.

Mohd Ali berkata, DAP mengemukakan usul tergempar itu kerana mahu mendapat publisiti murahan.

"Kalau saya nak sebut DAP kerja rasuah pun banyak juga tapi itu hal DAP kita tak nak campur.

"Saya tidak terlibat dengan rasuah pun dalam Umno. Ini saya telah sebutkan tetapi Jawatankuasa Disiplin telah menyatakan saya bersalah dan tidak boleh bertanding (jawatan Timbalan Presiden Umno), jadi saya akurlah dengan keputusan parti saya. Ini tidak ada kaitan dengan DAP," kata Mohd Ali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan