PKR bidas Guan Eng bincang isu Fairus guna media

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membidas sambil menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar tidak terus membincangkan isu bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin yang turut meletakkan kedudukannya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, melalui media secara terbuka.

Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali berkata perbincangan secara terbuka hanya akan merugikan Pakatan Rakyat.

"Bagi pihak PKR saya meminta Ketua Menteri Pulau Pinang supaya tidak melanjutkan lagi perbincangan melalui media tentang kes Mohammad Fairus ini kerana ia hanya menguntungkan pihak lawan Pakatan.

"Hari ini (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Lim telah sempat berbual dan saya percaya semua kekeliruan telah mereka selesaikan," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar ke mStar Online hari ini.

Semalam Lim mengakui secara peribadi beliau kurang gembira dengan perkembangan yang berlaku berikutan peletakan jawatan Mohammad Fairus baru-baru ini.

Bagaimanapun Lim berkata, demi semangat setiakawan dalam pakatan pembangkang, beliau menyerahkan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Dalam pada itu, Dr. Syed juga menjelaskan tindakan Mohammad Fairus melepaskan kerusinya sebagai ADUN Penanti dibuat berdasarkan pertimbangannya sendiri.

"Kami berharap SPR akan bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan tidak terpengaruh oleh sikap sesetengah pihak berkuasa yang seolah-olah cuba hendak mengelak pilihan raya kecil dari diadakan," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau Umno berhak untuk tidak meletakkan calonnya dalam pilihan raya kecil Penanti yang sepatutnya diadakan tidak lama lagi.

"Mungkin Perdana Menteri dan Umno bimbang (akan) kalah dan lebih bimbang lagi jikalau kalah dengan perbezaan undi lebih besar.

"Kami mengalu-alukan sekiranya Umno memutuskan tidak akan bertanding," katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak membayangkan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan tidak akan meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti jika mendapat konsensus semua parti komponen BN.

Banyak pihak mengesyorkan agar BN tidak meletakkan calon bersaing di Penanti atas beberapa alasan.

Ini termasuklah bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa. Sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil termasuk penggunaan wang lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.

Bagaimanapun ujar Dr. Syed, BN boleh memberikan sebarang alasan yang disukainya untuk tidak menyertai pilihan raya kecil ini.

"Tetapi, kenapa soal pembaziran baru sekarang ditimbulkan, pada hal kerajaan Umno-Bn tidak habis-habis membazirkan wang rakyat?

"Mengapa soal main politik ditimbulkan sekarang pada hal pemimpin-pemimpin Umno-Bn tidak sudah-sudah bermain politik melalui media yang mereka kuasai?" katanya.

PKR NEGERI BIDAS GUAN ENG

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim juga membidas tindakan Lim yang menggunakan media sebagai perantaraan untuk menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap parti itu serta Anwar.

Beliau berkata, tindakan Lim menyuarakan kekecewaannya berhubung isu calon pengganti Timbalan Ketua Menteri 1 serta peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penanti menerusi media adalah tidak wajar kerana keduadua parti itu mempunyai saluran dalaman untuk berbincang.

"Sebagai parti yang bergabung di bawah satu pakatan, mengapa beliau tidak boleh berbincang sendiri dengan Anwar atau saya berhubung isu mencari calon pengganti Mohammad Fairus sebagai TKM1 dan ADUN Penanti?

"Mengapa suka sangat meluahkan perasaan kepada media? Apakah kita sudah tidak ada saluran untuk berbincang mengenai perbezaan pendapat yang timbul?," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, sikap Lim yang gemar menuding kepada Anwar kononnya pemimpin itu tahu semua dan merancang mengenai tindakan Mohammad Fairus itu amat tidak disenanginya kerana ia jelas menunjukkan bahawa Lim tidak menghormati perasaan rakan kongsinya di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Kita bukan hendak membelakangkan dia tetapi kita sedang menyelesaikan perkara yang berlaku di dalam parti berikutan keputusan peribadi yang dibuat oleh Mohammad Fairus untuk melepaskan semua jawatannya.

"Mengapa perlu tergesagesa dalam soal ini," katanya.

Zahrain menegaskan bahawa keputusan mengenai calon pengganti TKM1 dan ADUN Penanti adalah hak PKR dan Lim tidak perlu mencampuri urusan parti itu.

"Memang benar selaku Ketua Menteri, beliau mempunyai kata muktamad tetapi sekurangkurangnya bagi peluang kita menentukan apa yang kita mahu dan dia perlu mendengar dahulu apa yang kita usulkan.

"Jangan sewenangwenangnya mahu masuk campur urusan parti kita," katanya dengan nada kecewa.

Zahrain berkata, selama ini sebarang tindakan yang hendak diambil oleh kerajaan negeri terutamanya berhubung pelantikan jawatan tertentu di agensi kerajaan negeri atau badan berkanun negeri tidak pernah dirujuk kepada PKR.

"Kalau dia nak ungkit, saya pun boleh ungkit bahawa dia (Lim) tidak pernah merujuk pendapat PKR atau saya sebagai pengerusi negeri mengenai pelantikan Datuk Lee Kah Choon di InvestPenang dan beberapa jawatan lain.

LAGI ZAHRAINLIM 3 (AKHIR) PULAU PINANG Menurutnya, PKR Pulau Pinang terpaksa bersuara supaya diberi lebih peranan dan kuasa dalam agensi kerajaan negeri dan akhirnya barulah ada anggota parti itu yang dilantik menduduki lembaga pengarah agensi tertentu.

Sehubungan itu, Zahrain mahu Guan Eng mencontohi sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tidak pernah mencampuri urusan parti lain kerana menghormati semangat setiakawan dalam PR.

Berhubung surat peletakan jawatan ADUN Penanti, beliau berkata, salinannya telah dihantar melalui faksimili ke pejabat Ketua Menteri pada hari yang sama pengumuman itu dibuat oleh Mohammad Fairus.

Katanya, pada hari berkenaan Lim berada di Singapura dan terpulang kepada pegawai di pejabatnya untuk memaklumkan kepada beliau mengenai perkara itu kerana tugas PKR sudah selesai apabila ia dimaklumkan melalui surat.

Secara kebetulan, katanya, percubaan Anwar dan beliau untuk menghubungi Ketua Menteri beberapa kali melalui telefon gagal dan sebelum berlepas menunaikan umrah di Mekah semalam, Anwar masih gagal menghubunginya.

Bagaimanapun, katanya, Anwar meminta exco PKR, Abdul Malik Abul Kasim untuk menyampaikan perkara itu kepada Lim setelah gagal menghubunginya.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan