Kekosongan disengajakan? SPR syor kaji undang-undang pilihan raya kecil

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sudah mula wujud trend kekosongan disengajakan untuk diadakan pilihan raya kecil? Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpendapat undang-undang pilihan raya perlu dipinda bagi mengelakkan kekosongan kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen sengaja dicetuskan bagi memenuhi kepentingan politik parti atau pun individu tertentu.

Sambil melihat sudah wujud trend beberapa kekosongan sejak Ogos lalu sengaja diadakan, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, soal peribadi dan masalah dalaman parti tidak harus dijadikan alasan untuk berhenti daripada menjadi wakil rakyat.

Daripada lima pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008, dua pilihan raya kecil iaitu kerusi Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bukit Selambau diadakan disebabkan penyandangnya mengosongkan kerusi tersebut.

Kedua-duanya telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat yang menurunkan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).

SPR bermesyuarat Rabu ini bagi memutuskan pilihan raya kecil keenam iaitu membabitkan DUN Penanti.

Kekosongan Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti berpunca daripada keputusan penyandangnya meletakkan jawatan.

Tiga kerusi lain kosong disebabkan kematian penyandang.

Justeru jelas Wan Ahmad, sudah tiba masanya peruntukan undang-undang sedia ada dikaji semula bagi mengatasi budaya sengaja mengosongkan kerusi yang disandang disebabkan oleh faktor calon sendiri, masalah dalam parti ataupun semata-mata untuk menguji populariti seseorang dapat dielakkan.

"Kalau kekosongan itu disengajakan untuk tujuan-tujuan tertentu, antara lain kerana masalah peribadi, rakyat tidak harus dibebankan dengan perbelanjaan (kos) bagi mengendalikan pilihan raya... saya setuju kalau peruntukan undang-undang sedia ada dikaji semula," kata Wan Ahmad ketika dihubungi mStar Online.

"Malah saya sangat setuju, sudah sampai masanya kerajaan melihat pada 'loop-holes' ini agar kecacatan ini tidak digunakan untuk tujuan kepentingan diri dan kepentingan tertentu," katanya.

Beliau yang juga bekas Setiausaha SPR memberitahu, situasi politik sudah berubah dan tidak harus dibiarkan ada pihak yang menyalahgunakan kekurangan lunas perundangan ini untuk sengaja menyebabkan kekosongan.

Kini menurut beliau, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari sebaik sahaja sesuatu kekosongan wujud tidak kira apa puncanya.

"Saya berpendapat bahawa perlu ada dasar baru dalam hal ini... kerajaan perlu menentukan dasarnya (mengenai klasifikasi dan skop sesuatu kekosongan itu).

"Sebaik sahaja adanya dasar sedemikian, Jabatan Peguam Negara boleh menggubal undang-undang yang sesuai, dan jika ada undang-undang sesuai, kami di SPR akan menguatkuasakan undang-undang itu nanti," katanya.

Beliau juga menambah, pilihan raya kecil juga menyebabkan amalan berlebihan berpolitik selain secara langsung dan tidak langsung menyebabkan kestabilan dan perpaduan negara terjejas.

Pindaan yang dibuat dua dekad lalu hanya melarang wakil rakyat yang melepaskan kedudukan mereka sebagai ADUN ataupun Ahli Parlimen daripada bertanding untuk satu tempoh selama lima tahun.

Selain itu, juga terdapat peruntukan di mana pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan wujud dalam tempoh dua tahun sebelum mandat semasa berakhir.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan