Muhyiddin jamin sampaikan permintaan kaum Sikh

Diterbitkan: Sabtu, 18 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan membawa empat permintaan kaum Sikh ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya percaya Perdana Menteri seorang yang bersikap pemurah akan menimbangkan perkara terbabit," kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau memberi jaminan itu semasa berucap pada majlis makan malam Amal sempena Hari Vaisakhi 2009 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Punjabi Malaysia di sini.

Sebelum itu, Presiden Persatuan berkenaan Datuk Daljit Singh Dalliwal meminta kerajaan menjadikan Hari Perayaan Vaisakhi sebagai perayaan nasional dan menyediakan bantuan kepada anakanak berbangsa Sikh melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Selain itu, Daljit juga meminta kerajaan memberikan bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan berasaskan kaum Sikh yang terbukti berjaya membawa anak bangsa itu mencapai kejayaan dan peluang dalam ekonomi serta sektor pembangunan negara.

Terdahulu, ketika menghuraikan mengenai konsep 1Malaysia dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kepercayaan dan saling hormati menghormati merupakan faktor penting bagi mencapai matlamat itu.

"Kami akan menjadikan 1Malaysia satu realiti. Ia membantu Malaysia untuk berdiri teguh dan kita semua bergerak seiring ke arah mencapai kecemerlangan. Saya pasti komitmen daripada semua pihak akan membantu menjayakan matlamat itu.

"Kami berikrar bahawa tiada siapa pun yang akan ketinggalan. Saya minta agar anda semua menyokong (konsep) 1Malaysia sebagai satu aset yang strategik dan bukan sekadar simbol," katanya.

Muhyiddin berkata, masyarakat Malaysia telah berpecah-belah sejak akhir-akhir ini ekoran rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang merasakan mereka diabaikan, lantas merasa dukacita terhadap kerajaan.

Beliau berkata, ia juga disebabkan krisis ekonomi yang mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat.

Oleh itu, katanya kerajaan melaksanakan penambahbaikan yang berterusan dengan menilai prestasinya secara kerap bagi memastikan tiada siapa pun yang akan ketinggalan.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menjadi tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam; Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan