Mekanisme baru sekat wakil rakyat letak jawatan perlu?

Diterbitkan: Sabtu, 18 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Puteri Umno mencadangkan satu mekanisme diwujudkan, sama ada daripada segi penggubalan undangundang atau badan pemantauan, bagi memastikan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri yang meletak jawatan sewenang-wenangnya dikenakan tindakan sewajarnya.

Ketua pergerakan itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil yang semakin kerap diadakan akhirakhir ini yang hanya menyusahkan rakyat.

"Wakil rakyat diberikan mandat dan tanggungjawab, tetapi kemudian meletakkan jawatan atas sebab peribadi atau kepentingan parti yang akhirnya akan menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen derma darah untuk Tabung Darah Negara di Kompleks Muhibah, Taman Bolton, Batu Caves di sini hari ini.

Pilihan raya kecil pertama diadakan berikutan peletakan jawatan selepas pilihan raya umum Mac 2008 ialah oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melepaskan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai tahun lepas untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat PKR, untuk bertanding dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 26 Ogos 2008.

Kes kedua pada Februari lepas apabila Timbalan Pengerusi PKR Kedah, V. Arumugam mengundurkan diri sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Selambau dengan pilihan raya kecil diadakan pada 7 April.

Sementara tiga lagi pilihan raya kecil iaitu bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Bukit Gantang di Perak serta kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Batang Air di Sarawak diadakan berikutan kematian penyandang jawatan tersebut.

Datuk Razali Ismail, anggota Parlimen Kuala Terengganu dari Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada 28 November lepas dengan pilihan raya kecil diadakan pada 17 Januari, sementara Roslan Shaharum dari PAS yang menyandang jawatan anggota Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia pada 9 Februari lepas dan penyandang kerusi Batang Ai dari BN Datuk Dublin Unting Ingkot meninggal dunia pada 24 Februari lepas dengan pilihan raya kecil diadakan serentak pada 7 April.

Pada Khamis lepas, ADUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan meletakkan jawatan dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran pascasiswazahnya serta untuk tujuan membersihkan namanya "dari segala tohmahan" memandangkan beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Rosnah berkata, kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu gubal satu mekanisme supaya wakil rakyat tidak meletak jawatan sewenang-wenangnya sambil merujuk kepada tindakan Mohammad Fairus.

Kini peruntukan hanya melarang mereka yang meletakkan jawatan ADUN atau Ahli Parlimen tidak boleh bertanding selama lima tahun.

Beliau berkata pakatan pembangkang harus meletakkan kepentingan rakyat di tempat pertama tetapi kini pakatan itu seolah-olah mengenepikan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat, memandangkan ini adalah kali ketiga wakil rakyat dari PKR meletakkan jawatan sewenang-wenangnya.

"Seolah-olah mereka ini memperlekehkan proses demokrasi dan menganggap pilihan raya kecil seperti satu permainan, tidak serius dan pentadbiran negara turut terjejas.

"Pilihan raya kecil tidak perlu dan boleh dielakkan sebenarnya kecuali wakil itu meninggal dunia," katanya.

Rosnah turut menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang sebenarnya tidak perlu diadakan.

"Peruntukan untuk pilihan raya kecil itu sebenarnya boleh digunakan untuk rakyat, kenapa perlu kita bazirkan. Sepatutnya ia jangan jadi amalan kepada wakil rakyat untuk meletak jawatan kerana sudah habiskan masa rakyat untuk mengundi sekali lagi," katanya.

Bagaimanapun, pergerakan itu sudah bersedia menghadapi cabaran pada pilihan raya kecil Penanti dan beliau sudah mengerahkan anggota Puteri di bahagian Permatang Pauh untuk meninjau sokongan pengundi di kawasan itu, katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan