Kos 5 pilihan raya kecil cecah jutaan ringgit

Diterbitkan: Sabtu, 18 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PECAHAN KOS KENDALI LIMA PILIHAN RAYA KECIL

Suruhanjaya Pilihan Raya: (Kira-kira 2.6 juta)

- Permatang Pauh (Parlimen) : RM500,000

- Kuala Terengganu (Parlimen) : RM600,000

- Bukit Gantang (Parlimen) : RM600,000

- Bukit Selambau (DUN) : RM400,000

- Batang Ai (DUN) : RM500,000

- Penanti (DUN) : Dianggarkan RM300,000

Polis Diraja Malaysia: (kira-kira RM31 juta)

- Permatang Pauh (Parlimen) : RM2.5 juta

- Kuala Terengganu (Parlimen) : RM11.5 juta

- Bukit Gantang (Parlimen) : RM7 juta

- Bukit Selambau (DUN) : RM5 juta

- Batang Ai (DUN) : RM5 juta

- Penanti (DUN) : ????

SEBAB DIADAKAN, SIAPA MENANG

- Permatang Pauh, Pulau Pinang (Dikosongkan, dimenangi PKR)

- Kuala Terengganu, Terengganu (Kematian, dimenangi PAS)

- Bukit Gantang, Perak (Kematian, dimenangi PAS)

- Bukit Selambau, Kedah (Dikosongkan, dimenangi PKR)

- Batang Ai, Sarawak (Kematian, dimenangi BN)

- Penanti, Pulau Pinang (Dikosongkan, ???)

PETALING JAYA: Sama ada suka ataupun tidak, kerajaan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk mengendalikan pilihan raya kecil yang negara telah saksikan satu demi satu sejak Ogos lalu.

Sebanyak RM2.6 juta telah disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengendalikan lima pilihan raya kecil sepanjang enam bulan lalu selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-12.

Ini belum termasuk perbelanjaan melibatkan agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan dan jabatan-jabatan lain - peringkat negeri dan persekutuan yang berkaitan.

Nampaknya ini kos yang perlu dibayar untuk melaksanakan prinsip dan nilai demokrasi menerusi pilihan raya kecil apabila saja wujud kekosongan.

Pastinya kini tumpuan menghala kepada kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti yang bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil.

Kerusi DUN Penanti dijangka memerlukan SPR satu peruntukan sebanyak RM300,000.

Daripada jumlah RM2.6 juta yang telah diperuntukkan setakat ini, hampir RM500,000 melibatkan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh yang telah berlangsung Ogos lalu.

Ia disusuli peruntukan sebanyak RM600,000 untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Selain itu, SPR memperuntukkan RM1.5 juta untuk mengendalikan tiga pilihan raya kecil serentak yang berakhir 7 April lalu.

"Jumlah kira-kira RM2.6 juta untuk lima pilihan raya kecil dan kira-kira RM300,000 untuk kerusi Penanti (jika ada pilihan raya kecil) hanya kos di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi.

Mengenai faktor kos, jelas beliau, ia ditentukan oleh jumlah pengundi di sesebuah bahagian dan kedudukan lokasi bahagian pilihan raya berkenaan.

Misalnya, walaupun kerusi DUN Batang Ai hanya melibatkan 8,000 pengundi, kos pilihan raya agak tinggi iaitu hampir RM400,000 kerana ia terletak di kawasan pedalaman dan melibatkan kemudahan pengangkutan seperti helikopter, kata beliau lagi.

Peruntukan undang-undang menjelaskan tentang had perbelanjaan bagi calon iaitu RM200,000 yang bertanding kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi mereka tanding kerusi DUN.

"Itu had yang ditentukan oleh undang-undang berhubung perbelanjaan seseorang calon... kadangkala parti yang mereka wakili juga membuat perbelanjaan," katanya.

Justeru, mengambil kira secara keseluruhan, kos bagi setiap pilihan raya kecil mencecah jutaan ringgit.

Secara peribadi, jelas beliau, Malaysia merupakan negara demokrasi di mana setiap orang ada hak untuk bertanding sebagai calon.

"Dia (wakil yang telah dipilih) ada hak untuk kekal atau berhenti atas apa jua sebab... itu terserah kepada mereka.

"Sama ada suka atau tidak, sesuatu kerusi yang wujud kekosongan sama ada kerana kematian atau apa juga sebab, perlu diadakan pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan.

"Jadi sama ada ia babitkan kos atau tidak... kita kena bayar harganya (untuk menegakkan amalan demokrasi," kata beliau sambil menambah, "memang ia melibatkan wang rakyat, wang negara."

PERBELANJAAN LUAR JANGKAAN PDRM

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, lima pilihan raya kecil yang diadakan sejak Ogos lalu secara langsung telah 'menelan' peruntukan yang dikhususkan untuk pengurusan PDRM.

Justeru kata beliau, PDRM terpaksa menyusun semula keutamaan perbelanjaan ke atas projek-projek yang sepatutnya dijalankan untuk membangunkan perkhidmatan polis.

"Lebih kurang RM30 juta telah dibelanjakan oleh PDRM untuk kelima-lima pilihan raya kecil ini setakat ini.

"Penyaluran peruntukan ini sepatutnya digunakan untuk memperbaiki balai-balai serta membeli peralatan-peralatan untuk menambah baiki PDRM," kata beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, PDRM terpaksa membuat permohonan mendapatkan peruntukan tambahan untuk menampung wang yang telah digunakan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya kecil.

Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Komisioner Datuk Mahsuri Zainal berkata, perbelanjaan untuk pilihan raya kecil digunakan untuk tujuan kemudahan khemah, penghantaran logistik, sewa ruang penginapan, sewaan barangan, bayaran elektrik dan elaun tugas luar anggota yang ditempatkan.

"Jumlah perbelanjaan ini bergantung pada jumlah anggota dan hari anggota ditempatkan, di mana ia berbeza antara satu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," katanya.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan