Tiada konspirasi jatuhkan Fairus

Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim menafikan dakwaaan wujudnya konspirasi atau niat jahat hendak menjatuhkan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin.

Beliau berkata, tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 itu meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan sebagai ADUN merupakan keputusan peribadi setelah beliau berbincang dengan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tak tahu apa konspirasi yang dia maksudkan kerana selama ini perkara ini tidak pernah disebutkan dan setahu saya tiada sesiapapun nak buat jahat atau nak menjatuhkan dia.

"Dia yang ambil keputusan untuk letak jawatan kerana mahu sambung belajar tetapi bagaimana pula dia boleh kata ada konspirasi untuk menganiayainya.

"Saya tak faham, lagipun saya tidak fikir Anwar akan buat begitu pada dia," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Walaupun mengakui bahawa bukan mudah bagi Mohammad Fairus untuk membuat keputusan melepaskan kesemua jawatannya itu, beliau berharap semua pihak tidak membuat spekulasi buruk dan sebaliknya menghormati keputusan pemimpin muda itu.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan dan tindakan Mohammad Fairus itu langsung tidak melibatkan pucuk pimpinan parti di peringkat negeri dan yakin tindakan ADUN Penanti itu tiada kaitan dengan dakwaan kononnya wujud masalah dalaman parti itu.

Ketika ditanya mengapa Mohammad Fairus seolah-olah membelakangkan pemimpin negeri dan berurusan secara langsung dengan Anwar, beliau berkata: "Mungkin dia lebih selesa dengan Anwar, saya tidak tahu."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Mohammad Fairus kepada sebuah akhbar berbahasa Cina sehari sebelum mengumumkan keputusannya mengosongkan kerusi DUN Penanti kononnya beliau diperangkap oleh orang dalam partinya sendiri.

Menurut laporan itu juga, Mohammad Fairus mahu PKR membela dan membersihkan namanya daripada pelbagai dakwaan yang mengaitkan namanya dengan operasi kuari di negeri ini dan akan mendedahkan "cerita dalaman" berkaitan dengan operasi gabungan pembangkang itu.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Penanti, Zahrain berkata, PKR akan mempertahankan kemenangan parti itu dan akan bekerja tanpa mengira siapa calon yang bakal ditentukan oleh Anwar.

"Yang penting, kita mahu bekerja dan berkhidmat untuk rakyat," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan