Penulis blog diminta henti laporan palsu, sentuh peribadi - Rais

Diterbitkan: Rabu, 15 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini meminta penulis blog menghentikan penulisan mengenai perkara palsu dan menyentuh peribadi.

Beliau berkata mereka yang menulis laporan palsu akan dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Menyatakan perkara palsu dan perkara menyentuh peribadi harus dihentikan oleh para penulis tersebut (penulis di internet dan blog).

"Jika mereka mengkritik kerajaan, itu hak mereka tapi jika berita mereka palsu maka kita akan mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi (dan Multimedia)," katanya kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat Jabatan Penerangan di Wisma Sime Darby di sini.

Beliau berkata perkara itu adalah antara yang dibincangkan pada mesyuarat pertama jemaah Menteri hari ini, selepas pembentukan Kabinet baru oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.

Dr Rais berkata Perdana Menteri juga bersetuju bahawa nama rasmi kementerian yang diterajuinya itu ialah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dengan menggugurkan perkataan "Kesenian".

"Ia tidak lagi mengandungi perkataan atau istilah lain selain tiga (perkataan) itu. Ia berasaskan kepada konsep jelas dan ringkas yang merangkul aspek perkhidmatan kerajaan Malaysia iaitu penerangan, komunikasi dan kebudayaan," katanya.

Katanya, ketigatiga kementerian yang digabung di bawah satu kementerian itu akan memperkasakan lagi tindakan serta apa sahaja yang berkuatkuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dr Rais berkata kementeriannya juga akan melaksanakan program "1Malaysia" secara bersungguhsungguh supaya program difahami dan diterima semua lapisan masyarakat.

"Ianya satu gagasan pemikiran dan pelaksanaan dasar Malaysia yang mesti disatukan dari segi masyarakat, ekonomi, kepentingan sosial dan seterusnya daripada segi pelaksanaan kepentingan umum di negara ini," katanya.

Beliau berkata perincian mengenai konsep itu akan dihuraikan satu persatu melalui pelbagai jurusan di bawah kementerian itu dan berharap semua jabatan memainkan peranan masing-masing.

Katanya, Jabatan Penerangan pula diingatkan supaya kepentingan orang ramai diutamakan iaitu di kampungkampung, kampung baru dan bandar semasa menyampaikan maklumat dan bimbingan kemasyarakatan.

Beliau mahukan pegawai penerangan di daerah bergabung tenaga dengan semua jabatan di bawah kementerian itu bagi menghasilkan khidmat, maklumat dan amalan penerangan yang berkesan mengenai dasar yang dibuat kerajaan.

Turut bersama ialah dua timbalan menteri berkenaan iaitu Datuk Joseph Salang Gandum dan Senator Heng Seai Kie, dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Morad. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan