Najib: Rendah hati perlu dimiliki ahli politik

Diterbitkan: Rabu, 15 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rasa rendah hati adalah satu sifat penting untuk dimiliki khususnya jika individu itu adalah anggota politik dan anggota Parlimen.

Beliau berkata, bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana dalam masyarakat, terutamanya masyarakat tradisional, amat cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri.

"Dalam masyarakat Melayu, seseorang itu tidak boleh menunjuk-nunjuk. Contohnya, apabila keluar melakukan tugas sebagai seorang ahli Parlimen, anda mestilah boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat. "Saya sangat menyedari akan keadaan bahawa apabila saya melakukan tugas sebagai ahli Parlimen, saya sangat selesa dengan keadaan tersebut.

"Sebagai contoh, jika saya berada di dalam surau atau pergi ke rumah penduduk miskin di dalam kawasan saya, saya memastikan tingkah laku saya tidak akan membuatkan mereka berasa tidak selesa, dan pemergian saya ke sana bukanlah bertujuan memandang rendah atau bersikap menghina mereka," katanya dalam laman blognya www.1malaysia.com.my mengenai nilai rendah hati sebagai satu nilai utama 1Malaysia di sini.

Bagaimanapun, Najib berkata bersikap rendah diri bukanlah satu petanda kelemahan.

Katanya, bersikap rendah diri perlu mengikut keadaan di mana dalam lingkungan masyarakat Malaysia, ia mungkin dianggap sebagai aset tetapi ketika berurusan dengan dunia luar, individu itu perlu memperlihatkan kekuatan dan kejayaan tetapi bukan dengan cara penindasan.

"Dalam masyarakat tertentu, ia cenderung disalahertikan sebagai satu petanda kelemahan. Apabila berurusan dengan orang luar contohnya, adakalanya anda perlu menunjukkan kekuatan anda.

"Anda perlu memperlihatkan keyakinan kerana apabila anda dilihat sebagai rendah diri pada sudut pandangan mereka, ia dianggap sebagai satu petanda kelemahan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan