Muhyiddin tetapkan dua tahun kukuhkan BN, Umno

Diterbitkan: Ahad, 12 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menetapkan tempoh dua tahun untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) melaksanakan transformasi yang sesuai, dalam usaha mengukuh dan menguatkan kedudukan parti itu di mata rakyat.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, dalam tempoh itu, mereka harus mencari jalan untuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan, bukan sahaja di kalangan orangorang Melayu, tetapi masyarakat umum, terhadap keupayaan Umno dan BN untuk terus menerajui negara.

"Orang bercakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

"Oleh sebab itu saya bagi masa tempoh tahun ini dan tahun depan, untuk melihat dari segi pendekatan apa yang hendak digunakan.

"Apa-apa pendekatan yang hendak digunakan, apa-apa bentuk perubahan pun kita harus mulakan seberapa segera, baik berhubung organisasi Umno, struktur atau program yang hendak dimulakan harus dimulakan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis tahlil dan doa selamat selain meraikan kehadiran ahliahli Umno dari Bahagian Pagoh di kediamannya, di sini.

Muhyiddin telah diminta mengulas ucapan ringkasnya sebelum majlis itu yang menetapkan tempoh dua tahun untuk melaksanakan perubahan dalam parti, Umno dan BN, sebelum berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Beliau berkata dalam tempoh itu, fokus utama adalah untuk memastikan kepimpinan di semua peringkat memahami hala tuju baru parti selain memberi perhatian kepada usaha memulihkan imej dan persepsi parti di khalayak umum.

"Saya tidak mahu rakyat tunggu agak lama, akan timbul kata-kata Umno belum berubah, akan timbul kenyataan bahawa BN seperti lama dulu. Wow factor yang saya sebut dulu masih tidak terserlah dan ini tidak baik dari segi parti kita," katanya sambil mengingatkan:

"...dalam tempoh dua tahun ini, Umno dan BN harus bekerja keras, meletakkan sasaran apa yang patut kita utamakan dan bagaimana (untuk memastikan) pimpinan parti di semua peringkat memahami aspirasi kerajaan dan dapat diterjemahkan perkara itu kepada ahli dan masyarakat.

"Kadang-kadang timbul keadaan di mana orang di atas cakap satu hal, di bawah tak faham maksud kita. Jadi kesan atau impak itu tak sebesar mana. Ini tidak baik bagi imej parti kita," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun tempoh pilihan raya umum kirakira empat tahun dari sekarang, tetapi dalam tempoh dua tahun ini adalah penting untuk membolehkan kepimpinan menilai tahap sokongan rakyat terhadap parti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan