Dakwa wujud krisis, PAS gesa MB Terengganu bubar DUN

Diterbitkan: Ahad, 12 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said digesa supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri untuk mengelakkan kebuntuan seperti yang berlaku di Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok dari PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, Ahmad perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyelesaikan krisis yang wujud antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dengan membubarkan DUN bermula esok.

Jelas beliau Menteri Besar itu perlu bertindak bagi mengelakkan daripada berlakunya krisis perlembagaan berikutan sokongan yang semakin menurun terhadapnya oleh ADUN BN sendiri.

Syed Azman berkata demikian bagi mengulas spekulasi yang disebarkan bahawa ADUN BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad pada persidangan DUN yang akan bermula esok.

Persidangan DUN Terengganu mulai esok sehingga Rabu ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Sabtu lalu Ahmad mengingatkan kepada mana-mana wakil rakyat BN yang cuba untuk membawa usul sedemikian bakal berhadapan dengan tindakan disiplin termasuk akan dipecat.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menyifatkan usul sedemikian boleh menjejaskan kepimpinan BN di peringkat negeri.

Syed Azman bagaimanapun beranggapan bahawa keadaan ini mencerminkan kepimpinan Ahmad selaku Menteri Besar bukan sahaja tidak disukai oleh barisan pembangkang di negeri itu malah oleh barisan kepimpinannya sendiri.

Tambah Syed Azman, oleh yang demikian Ahmad perlu menerima hasrat yang disampaikan oleh wakil rakyat BN dengan membubarkan DUN.

Difahamkan juga empat wakil rakyat BN hari ini pergi ke Kuala Lumpur untuk menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyuarakan hasrat mereka.

Namun usaha untuk menghubungi keempat-empat mereka gagal.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan