Jawatankuasa khas pantau prestasi menteri, timbalan menteri MCA

Diterbitkan: Sabtu, 11 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: MCA akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi memantau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menteri dan timbalan menteri daripada parti itu bagi setiap tiga bulan, kata Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu merupakan kesinambungan daripada pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memperkenalkan KPI untuk memantau prestasi dan pencapaian anggota kabinetnya.

"Pihak MCA juga akan menggariskan satu sistem sama untuk memantau secara rapi kecekapan dan keberkesanan pelbagai tugasan wakil MCA dalam sesuatu kementerian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kedai dan Restoran Kopi Malaysia dan Singapura di sini hari ini.

Mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya prestasi menteri dan timbalan menteri terbabit kurang memuaskan, Ong berkata mereka tidak akan disingkirkan serta-merta sebaliknya dibantu terlebih dahulu dengan mengenalpasti punca masalah dan penyelesaiannya.

"Kalau masih lagi lemah, itu kena dilaporkan kepada pucuk pimpinan parti," katanya.

Ditanya sama ada beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu, Ong berkata ia akan diumumkan kelak.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jawatankuasa itu akan turut disertai oleh veteran MCA.

Selain itu, Ong berkata beliau juga telah mengarahkan setiap menteri dan timbalan menteri daripada parti itu supaya mewujudkan panel penasihat dalam portfolio masing-masing bagi meningkatkan tahap keberkesanan tindakan mereka.

Katanya panel terbabit perlu dianggotai mereka yang arif dalam bidang berkaitan termasuk wakil daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

"Walaupun kita menteri, kita bukan serba-serbi boleh buat, kita juga ada kelemahan dan kekangan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan