GMP: Lantikan Muhyiddin bawa harapan baru mansuh dasar PPSMI

Diterbitkan: Sabtu, 11 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menyifatkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pelajaran yang baru seperti satu harapan positif terhadap gesaan supaya kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata pihaknya menyambut baik pelantikan Muhyiddin kerana beliau yakin Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri akan memandang berat mengenai isu PPSMI.

"Baguslah dah ada Menteri Pelajaran yang baru kerana kita percaya ada maksud tertentu mengenai pelantikannya (Muhyiddin).

"Sebelum beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya ada berkomunikasi dengannya dan beliau sendiri ada bertanya mengenai perkembangan GMP...jadi nampak macam ada harapanlah," katanya kepada mStar Online.

Selain itu jelas Hassan, gandingan Muhyiddin bersama timbalannya di Kementerian Pelajaran iaitu Datuk Dr. Puad Zakarshi turut mempunyai siknifikasi yang positif.

"Semua orang tahu sama ada di Parlimen atau dalam umno sendiri Dr. Puad membantah sekeras-kerasnya dasar PPSMI.

"Saya amat yakin ada tujuan atau maksud tertentu disebalik pelantikannya di Kementerian Pelajaran.

"Mungkin ada maksud atau tujuan baik untuk mansuhkan PPSMI, jika tidak mengapa nak lantik beliau kerana beliau memang lantang membantah," katanya.

Tambah Hassan lagi, pihaknya tetap konsisten dalam tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan dasar yang dianggap bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun siapa yang jadi Menteri atau Perdana Menteri, kita tetap akan teruskan gesaan hingga dasar yang mempunyai banyak kelemahan ini dimansuhkan," katanya.

Menurut beliau lagi kerajaan sebenarnya tidak ada pilihan lain melainkan akur dengan permintaan rakyat yang mahu dasar PPSMI dimansuhkan.

"Bukan sahaja kaum Melayu malah kaum-kaum lain juga membantah mengenai PPSMI, rakyat mahukan pengajaran Sains dan Matematik dikembalikan ke dasar asal iaitu diajar dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing," katanya.

Hassan turut memberitahu bahawa GMP akan mengatur pertemuan pihaknya bersama Menteri dan Timbalan Menteri Pelajaran yang baru bagi membincangkan mengenai dasar PPSMI.

"InsyaAllah kita akan meminta untuk adakan pertemuan dengan mereka dalam waktu terdekat," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan