Dua calon PKR untuk TKM1 Pulau Pinang, Anwar tentukan

Diterbitkan: Sabtu, 11 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai dua calon yang layak dipertimbangkan untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang, yang akan diputuskan penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada dasarnya ada dua calon yang layak dipertimbangkan, tetapi pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Bagi saya, siapa menjadi TKM1 tidak menjadi persoalan asalkan orang itu tidak membelakangkan parti dan rakyat serta boleh mengangkat martabat orang Melayu," kata Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim.

Beliau berharap anggota parti dapat menerima keputusan yang akan dibuat oleh Anwar mengenai jawatan TKM1, bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang telah meletakkan jawatannya pada 8 April lalu, dengan hati yang terbuka dan memberikan sokongan padu mereka kepada calon berkenaan.

"Sebagai pemimpin parti, bila Anwar buat keputusan, semua kena terima walaupun akan ada anggota yang tidak bersetuju dan tidak berpuas hati.

"Yang penting kita semua berpegang teguh pada prinsip perjuangan parti," katanya ketika dihubungi di sini.

PKR mempunyai sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang dengan tiga daripadanya adalah Melayu iaitu Mohammad Fairus yang merupakan ADUN Penanti, ADUN Batu Maung Abdul Malik Abul Kasim yang kini Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Negeri serta ADUN Sungai Bakap, Maktar Shapee.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Penanti dalam masa terdekat, Zahrain berkata itu hanyalah spekulasi yang dibuat oleh pelbagai pihak.

"Fairus masih ADUN PKR di kawasan itu dan setia dengan parti," katanya.

Khamis lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng memberikan tempoh seminggu kepada Anwar untuk mengemukakan nama calon TKM1 berikutan kekosongan jawatan itu setelah Mohammad Fairus meletakkan jawatannya.

Beliau juga menegaskan bahawa semua exco kerajaan negeri dan 28 ADUN pakatan PKR-DAP-PAS bersetuju bahawa kuasa melantik TKM1 merupakan hak Ketua Menteri tetapi beliau mahu berunding dengan PKR sebagai menghormati semangat kerjasama dalam pakatan itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan