Komponen BN puji Kabinet baru, langkah adakan KPI

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memuji kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, dan menyifatkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang diwujudkan akan mempertingkatkan lagi perkhidmatan menteri-menteri dan timbalan menteri.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata kabinet baru cukup baik, mengambil kira cabaran-cabaran ekonomi global kini.

"Tapi, apa yang lebih menarik ialah pengenalan Indeks Prestasi Utama bagi kabinet. Kini wujud sistem semak dan imbang dalam kabinet.

"Dengan langkah itu, yang lembab dalam tugas mereka akan diganti. Menteri akan bergerak sepanjang masa dan rakyat akan lebih yakin. Saya yakin rakyat menyambut baik dan menyokong pendekatan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata barisan kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri mampu membawa iltizam dan wawasan untuk Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju.

"Barisan kabinet ini berkebolehan dan merupakan gandingan mantap antara muka baru dan lama dengan memberi keutamaan kepada hasrat Perdana Menteri untuk mendekati rakyat dan memberi keutamaan kepada pencapaian," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pengenalan Indeks Prestasi Utama (KPI) dilihat supaya mereka sentiasa berwaspada untuk mencapai sasaran kerja yang ditetapkan.

"Menerusi KPI, kita mesti dapat hasilkan kerjakerja produktif yang berkualiti dan mencapai sasaran untuk kepentingan rakyat," katanya.

Mohd Ali juga mengucapkan tahniah atas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran dan percaya beliau boleh membantu Najib melaksanakan dasardasar.

"Saya juga percaya Muhyiddin (atas pengalaman beliau) boleh menguatkan Kementerian Pelajaran," katanya.

Di JOHOR Baharu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kabinet tersebut berkata:

"Saya akan bekerja keras untuk mencapai matlamat dan aspirasi yang diletakkan oleh Perdana Menteri. Saya akan bekerja sebagai satu pasukan bersama-sama ahli kabinet yang lain untuk memenuhi harapan yang diletakkan oleh rakyat terhadap kerajaan," katanya.

Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim melahirkan rasa terkejutnya kerana dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

"Itu prerogatif Perdana Menteri dan saya akan bekerja keras untuk melaksanakan tanggungjawab yang datang bersamasama jawatan itu," katanya.

Anggota Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi pula berkata pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran adalah suatu yang mengejutkan tetapi berazam untuk melaksanakan tugas yang diberikan itu sebaik mungkin.

"Ia adalah suatu cabaran yang amat besar kerana ia merupakan kementerian yang besar tetapi saya komited untuk bekerja bersungguh-sungguh di dalam memastikan kesemua agenda pendidikan negara dicapai," katanya.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pelantikan ramai pemimpin Sabah menjawat portfolio penting dalam kabinet baru Persekutuan membuktikan Perdana Menteri benar-benar prihatin terhadap harapan rakyat Sabah.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri berkata ia juga merupakan pengiktirafan yang tinggi terhadap kewibawaan dan kebolehan pemimpin dari Sabah untuk berkhidmat dan menyumbang bakti yang cemerlang dan dedikasi di peringkat nasional.

"Saya yakin dan percaya bahawa mereka yang diberi kepercayaan ini akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komited," katanya dalam satu kenyataan.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata rakyat perlu memberi peluang kepada barisan kabinet baru Datuk Seri Najib untuk membawa perubahan yang lebih bermakna kepada kesejahteraan dan kemakmuran Malaysia.

Adnan berkata Perdana Menteri ternyata begitu ikhlas dan jujur untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat ketika menyampaikan ucapan sebelum mengumumkan barisan kabinet barunya.

"Perdana Menteri berkata masa untuk menyatakan "kerajaan tahu semua", sudah berlalu, beliau mengajak rakyat membantu beliau, berikan pandangan, maksudnya beliau sedia dikritik, kita harap rakyat beri peluang kepada pentadbiran baru ini," kata Adnan di kediamannya.

Di KOTA BAHARU, pemilihan dua pemimpin Umno dari Kelantan dalam kabinet berkenaan membuktikan kebolehan pemimpin Kelantan dalam mengurus kerajaan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa berkata Umno Kelantan amat mengalu-alukan pelantikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

"Pelantikan hari ini bukti kebolehan pemimpin Kelantan dan kepercayaan Perdana Menteri dalam menentukan kabinet yang memenuhi kriteria yang telah ditentukan.

"Mustapa merupakan orang yang paling lama memegang jawatan menteri dan beliau amat berpengalaman di dalam bidang ekonomi jadi sumbangan beliau kepada portfolio baru ini (Mustapa sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) adalah bersesuaian.

"Awang Adek juga mempunyai latar belakang ekonomi dan beliau memegang semula jawatan Timbalan Menteri Kewangan menunjukkan sumbangan beliau sebelum ini memberikan kesan yang positif," katanya.

"Mungkin antara mereka boleh menjadi pengganti saya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan