Kabinet "Pasukan Baru" angkat sumpah pagi ini

Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kabinet baru dengan dianggotai 29 menteri penuh dan 40 timbalan menteri akan mengangkat sumpah di Istana Negara pagi ini.

Barisan Kabinet ini diistilahkan sebagai "Pasukan Baru", yang mencerminkan slogan "Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan".

Upacara di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin itu dijadual berlangsung mulai 9.30 pagi ini.

Barisan Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini diumumkan petang semalam setelah mendapat perkenan Tuanku Mizan.

Kabinet kali ini adalah lebih kecil berbanding sebelum ini iaitu dianggotai 29 menteri membabitkan 25 kementerian.

Dulu terdiri daripada 32 menteri membabitkan 27 kementerian iaitu ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kabinet ini juga memperkenalkan dua kementerian baru iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kementerian Perpaduan dan Prestasi Kabinet yang portfolionya terletak di Jabatan Perdana Menteri.

Najib juga mengumumkan pembubaran dua kementerian manakala seorang Penasihat Ekonomi Negara bertaraf menteri diwujudkan.

Lapan menteri lama tidak disenaraikan dalam Kabinet baru termasuk Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad yang telah meletakkan jawatan minggu lalu.

Empat menteri baru dilantik atas kapasiti sebagai anggota Dewan Negara iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Tiga lagi muka baru dilantik menteri penuh ialah Datuk Ahmad Husni Hanahzlah sebagai Menteri Kewangan II, Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Anifah Aman (Menteri Luar). Turut bersama Kabinet baru ini ialah anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Najib kekal portfolio Kementerian Kewangan I.

Tiga Naib Presiden Umno yang baru kekal dalam Kabinet - Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula Menteri Pertahanan manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengetuai Kementerian Dalam Negeri.

Najib dalam taklimat media selepas mengumumkannya petang semalam berkata, beliau mencontohi bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak yang membawa masuk muka baru dalam Kabinet beliau.

Mengenai saiz Kabinet, Najib memberitahu, pada mulanya hasrat beliau ialah membariskan Kabinet lebih kecil sedikit daripada juah tersebut.

Bagaimanapun rancangan beliau tidak dapat dilakukan kerana terpaksa mengambil kira kehendak komponen BN "dalam keluarga yang semakin besar".

Najib menyifatkan barisan baru jemaah menteri ini sebagai Kabinet rakyat dengan dua prinsip diutamakan iaitu parti dan rakyat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan