Isu Fairus: Guan Eng, Ramasamy diambil keterangan

Diterbitkan: Rabu, 8 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Fairus Khairuddin.

Lim berkata sekumpulan pegawai SPRM yang diketuai Pengarah SPRM Pulau Pinang, Latifah Md Yatim mengambil keterangannya semalam.

"Keterangan saya diambil lewat petang semalam selama lebih satu jam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata SPRM juga telah mengambil keterangan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy bagi membantu siasatan kes itu.

"SPRM mungkin akan tanya (mengambil keterangan) beberapa Exco lagi. Saya telah beritahu semua Exco supaya memberikan kerjasama kepada SPRM jika mereka diperlukan untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdul ketika dihubungi Bernama berkata kertas siasatan kes berkenaan dijangka diterima esok.

"Saya masih menunggu kertas siasatan itu, mungkin esok atau lusa," katanya yang turut menafikan khabar angin kononnya Mohammad Fairus kini ditahan oleh SPRM.

Pada 26 Mac lepas, Mohammad Fairus ditahan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin di Johor Baharu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan beliau kemudiannya dibebas setelah SPRM mengambil keterangannya.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kepala Batas, Amizuddin Ahmat, yang mendakwa terdapat pemimpin Parti Keadilan Rakyat di Pulau Pinang terbabit dalam penyelewengan membabitkan kuari di Seberang Perai dekat sini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan