Bekas Exco V. Arumugam pulang jelaskan sebab larikan diri

Diterbitkan: Rabu, 8 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Bekas anggota Exco Kedah, V. Arumugam yang pulang dari India hari ini berkata beliau melarikan diri kerana faktor keselamatan diri dan keluarganya terancam berikutan menerima banyak ugutan dan desakan supaya melompat parti.

"Saya melarikan diri berseorangan ke Mumbai untuk menenangkan fikiran dan hanya akan pulang selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau berakhir kerana merasakan keadaan pada masa itu sudah tenang dan selamat," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pihak yang mendesaknya melompat parti tetapi berkata cara itu sahaja yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa keadaan.

"Saya tidak menyesal melepaskan kedua-dua jawatan (wakil rakyat dan Exco) pada 8 Feb lepas," katanya kepada pemberita semasa ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini, kira-kira pukul 3 petang.

Kepulangan Arumugam dapat dihidu wartawan dan jurugambar yang menunggu di lapangan terbang sejak pukul 1.45 petang.

Isteri beliau M. Mariyaee, 36, dan anak bongsunya, Selvanthiran, 7 tahun menunggu beliau dengan ditemani peguam, Murshidah Mustafa.

Turut menyambut kepulangan Arumugam ialah Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abd Isa Ismail, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukti Selambau yang baru, S.Manikumar dan setiausaha politik Menteri Besar Kedah, Md Sanusi Md Nor.

Arumugam memenangi kerusi Bukit Selambau sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas dan kemudian menyertai PKR.

Beliau mendakwa telah banyak kali membuat laporan polis mengenai ugutan yang diterima dan cermin keretanya dipecahkan.

"Sampai bila saya hendak tunggu...sampai kena bunuh dulu baru polis hendak bertindak padahal orang nak culik saya dan kawad pengecaman juga telah dibuat. Takkan tidak ada suspek," katanya.

Arumugam berkata beliau menyerahkan keputusan kepada pimpinan tertinggi parti untuk menentukan kedudukannya dalam PKR tetapi pada masa sama merancang mencari pekerjaan.

"Saya masih ahli PKR dan memegang jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri dan Naib Ketua Bahagian Merbok," katanya sambil menambah akan meminta maaf kepada penduduk Bukit Selambau dan berharap Manikumar akan menyambung tugas yang ditinggalkan," kata beliau.

Beliau menambah PKR akan mengambil tindakan lebih berwaspada dan sewajarnya supaya 'malang' yang menimpa dirinya tidak menjangkiti Manikumar tetapi percaya ADUN baru itu tidak akan melompat menyerti parti lain. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan