Kerajaan Selangor minta penjelasan dana Balkis dari Jabatan Insolvensi

Diterbitkan: Isnin, 6 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menghantar surat meminta Jabatan Insolvensi Malaysia menjelaskan kedudukan dana RM9.9 juta kepunyaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis), kata Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Politik Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Antara kandungan surat yang dihantar oleh sebuah syarikat guaman itu ialah kerajaan negeri meminta pengesahan jika benar Jabatan Insolvensi sedang mengendalikan dana itu seperti dinyatakan oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Selangor, Tairah Yusof, kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Bertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) dalam satu siasatan minggu lepas.

"Jika benar dana itu adalah dalam pengendalian Jabatan Insolvensi Malaysia, kerajaan negeri Selangor meminta agar dana itu diberi dan diamanahkan kepada pihak kerajaan negeri untuk tindakan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab terhadap dana itu memandangkan ia mengandungi sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri.

Balkis telah dibubarkan pada 11 Mac 2008, dan menurut bekas Yang Dipertuanya, Datin Seri Zahrah Kechik, dana RM9.9 juta itu telah diserahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri (BAKTI). BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan