Pelantikan Najib raih sokongan di tiga pilihan raya kecil - Muhyiddin

Diterbitkan: Ahad, 5 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri bakal membawa rakyat kembali menyokong Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Beliau berkata perubahan kepimpinan negara telah memberi keyakinan kepada rakyat khususnya di kawasan Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai tentang kesungguhan kerajaan BN untuk membawa perubahan dan pembaharuan.

"Rakyat begitu bersemangat dan memberi sokongan penuh kepada pelantikan Najib kerana mereka menaruh harapan Perdana Menteri baru membawa negara mencapai satu tahap kemajuan yang lebih tinggi.

"Saya yakin dengan pelantikan Najib kita boleh meraih kemenangan bukan sahaja di Batang Ai tetapi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau," katanya kepada pemberita di Hornbill Skyways hangar di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyertai semula Umno hari ini selepas keluar daripada parti hampir setahun lepas merupakan satu lagi faktor yang boleh memberi kelebihan kepada BN untuk memenangi pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Beliau berkata bekas presiden Umno itu bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dan anak mereka Datuk Mokhzani yang kembali semula ke pangkuan Umno menandakan mantan Perdana Menteri masih mendukung perjuangan BN.

"Ini menandakan semangat perpaduan terjalin antara pimpinan tertinggi negara dan ia akan membawa angin perubahan besar di negara kita. Saya yakin ini akan memberikan kelebihan kepada BN untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini," katanya.

Sebelum itu, Muhyiddin yang mengadakan lawatan ke Rumah Liam, Ulu Engkari dan Rumah Machau, Nanga Kumpang di Lubuk Antu berkata beliau yakin calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh boleh meraih kemenangan.

Beliau berkata pengundi yang masih dahagakan pembangunan masih yakin hanya BN sahaja yang boleh menyediakan kemudahan dan infrastruktur kepada mereka.

"Pengundi sedar kalau pilih PKR, mereka tidak akan dapat sebarang bantuan kerana ia pembangkang yang tidak berkeupayaan. Saya yakin mereka mahu calon BN yang menjadi wakil rakyat di sini," katanya.

Muhyiddin berkata sokongan diberikan kepada calon BN amat mengalakkan kerana calonnya yang berkelulusan tinggi, mesra dan sedia berkhidmat sebaliknya calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan calon lama yang "dikitar semula" dan tidak membawa sebarang pembangunan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan