Najib: Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" merupakan slogan pentadbiran baru di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Dengan semangat slogan itu, Najib, dalam ucapan sulungnya malam ini, mengajak seluruh rakyat bersamasamanya melaksanakan transformasi besar untuk negara.

Menurutnya barisan Kabinet yang bakal beliau bentuk akan membawa pendekatan baru "bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat".

Beliau memberi jaminan tiada rakyat yang patut berasa terpinggir di bawah pentadbirannya.

"Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelusok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.

"Kita akan rapatkan hubungan rakyat dan kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik," katanya dalam perutusan sempena penerimaan jawatan Perdana Menteri Malaysia Keenam yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Najib juga meluahkan hasrat untuk mendampingi rakyat dengan bertukartukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat pada waktu terdekat ini.

Mengakui seawal usia mudanya beliau telah mengabdikan diri berkhidmat untuk rakyat, Najib berkata ia lahir hasil "inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya (Tun Razak Hussein)".

Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia Kedua mulai 22 Sept 1970 sebelum meninggal dunia pada 14 Jan 1976.

"Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia," katanya.

Najib berkata sepanjang perkhidmatannya, beliau sentiasa menekankan aspek keberhasilan sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasa ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat negara menghadapi cabaran ekonomi.

Najib juga sedar pentingnya penekanan mula diberi terhadap aspirasi golongan muda.

"Potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggitingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan," katanya.

"Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini," kata Najib.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan, khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara.

Beliau turut berterima kasih kepada Abdullah yang menamakan dirinya sebagai sebagai penganti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan