Abdullah serah tugas PM kepada Najib

Diterbitkan: Jumaat, 3 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERAH TUGAS SECARA RASMI...Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri.
SERAH TUGAS SECARA RASMI...Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri simbolik penyerahan tugas sebagai Perdana Menteri keenam kepada penggantinya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Pejabat Perdana Menteri.

PUTRAJAYA: Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan tugas Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Upacara penyerahan tugas itu berlangsung di tingkat lima, Pejabat Perdana Menteri pada pukul 4.50 petang.

Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam di hadapan Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ini merupakan sejarah negara apabila buat pertama kalinya anak Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri pula.

Najib merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam upacara itu, Abdullah yang berbaju Melayu jingga menyerahkan Fail Meja YAB Perdana Menteri berwarna biru sebagai tanda penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Najib yang berbaju Melayu merah jambu sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Upacara itu juga menandakan lengkapnya proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib secara tersusun dan berjalan dengan lancar, mengekalkan tradisi peralihan kuasa negara dari dahulu hingga sekarang.

BERITA TERDAHULU

Najib Perdana Menteri keenam

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.

Upacara yang penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini, menyaksikan Najib melafazkan ikrar berbunyi berikut:

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi."

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur, dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan juga memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya."

"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang Perdana Menteri kecuali sebagai mana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagai mana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."

Najib mencipta sejarah kerana mewarisi bapanya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.

Najib menyertai politik secara aktif selepas Razak meninggal dunia.

Upacara bersejarah itu akan bermula pukul 10 pagi ini dengan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri keenam.

Ia diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah pagi tadi.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Menurut atur cara sempena upacara mengangkat sumpah yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, selepas upacara di Istana Negara ini, Najib dijadual ke Masjid Negara untuk solat Jumaat dan menziarah pusara ayah beliau di Makam Pahlawan, di perkarangan masjid itu.

Pada pukul 4 petang, Abdullah dengan rasminya akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib dalam satu upacara di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Lewat petang, Najib akan pulang ke kediaman beliau di Jalan Duta di sini untuk majlis tahlil serta doa selamat dan akan ke udara untuk berucap di seluruh negara melalui RTM pada pukul 8.10 malam.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan