Polis beri amaran jangan menghasut semasa kempen

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira dari parti politik mana, yang didapati mengapi-apikan atau mengeluarkan kata-kata yang dianggap sebagai menghasut, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata semua calon mahupun wakil atau penyokong sekalipun tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan atau kata-kata yang dianggap bersifat menghasut, yang boleh membangkitkan rasa tidak senang atau menimbulkan suasana tegang kepada orang yang mendengarnya.

“Semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai perlu mematuhi dengan tegas peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, di samping menerima nasihat polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Musa berkata mereka perlu mengelak daripada membuat tuduhan tidak berasas atau yang langsung tidak benar mengenai lawan, mahupun parti yang diwakili lawannya itu.

Beliau berkata polis akan memantau semua ceramah politik di samping menyimpan rekod mengenainya, dan semua pihak, terutama kalangan penyokong parti yang bertanding, diminta supaya tidak mengejek atau membangkitkan kemarahan sesiapa semasa berkempen.

Katanya polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di tigatiga kawasan pilihan raya itu bagi memastikan semua rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa sebarang gangguan pada hari mengundi.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak, dan kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Perak serta Batang Ai di Sarawak dijadualkan berlangsung pada 7 April ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan