Ezam: Barisan baru Umno pasukan idaman Anwar dulu

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat, Ezam Mohd. Noor dalam kempen pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau mendedahkan barisan pemimpin Umno baru sebenarnya merupakan pasukan idaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam Umno.

Malah, Ezam dalam kempennya di Bukit Gantang kelmarin dan di Bukit Selambau malam tadi berkata, Anwar yang merupakan bekas Timbalan Presiden Umno pernah menganggap Presiden semasa, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai "antara orang paling cerdik."

"Saya pernah tanya Anwar masa beliau jadi Ketua Pemuda Umno, siapa yang paling beliau risau... beliau mengatakan nama Najib... dia kata Najib yang paling cerdik di kalangan barisan Pemuda.

"Anwar mengatakan kepada saya (semasa menjadi pembantu Anwar), Anwar berkata antara yang paling cerdik, yang beliau iktiraf ialah Najib (ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno)," kata beliau ketika berceramah pada sesi Pidato Perdana di Taman Kaya dekat di sini malam kelmarin.

Ezam juga merupakan bekas Setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit kepada Anwar, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, dipecat pada September 1998.

Ezam kembali ke pangkuan Umno Jun lalu.

Beliau merupakan antara penceramah tetamu tetap bagi Umno dalam pilihan raya kecil sejak persaingan di Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu dan Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.

Anwar menambah, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah antara pemimpin Umno yang diakui oleh Anwar sebagai pemimpin-pemimpin bijak dan terbaik yang menjadi sebahagian dalam pasukan idamannya.

Oleh itu, katanya, Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak harus mempertikaikan keupayaan kempimpinan baru ini.

"Kenapa dia (Anwar) protes Datuk Seri Najib? Sebab dia takut. Sebab apa dia paling takut Datuk Seri Najib? Sebab beliau adalah yang paling cerdik.

"Saya pernah tanya Anwar Ibrahim ketika dia menjadi Ketua Pemuda Umno dulu, Exco Pemuda Umno mana yang paling cerdik.

"Anwar jawab Datuk Najib. Lepas Datuk Najib siapa? Dia jawab (Tan Sri) Muhyiddin dan sekarang ini tengok, Najib jadi Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden," katanya ketika berceramah di Sungai Lalang, Bukit Selambau di sini.

Selain itu katanya, Anwar turut menyenaraikan Ahmad Zahid dan Hishammuddin sebagai sebahagian daripada kumpulan wawasan yang ditubuhkannya.

"Ini bermakna Anwar mengakui, mereka ini adalah pemimpin terbaik Umno yang ada pada masa itu dan kini kesemua mereka sudah menerajui Umno. Apa lagi Anwar nak kata?" katanya.

Ezam berkata, pemimpin-pemimpin Umno yang baru sahaja dipilih menerajui parti pada pemilihan Khamis lalu adalah pasukan terbaik yang pernah ditampilkan Umno dalam masa 10 tahun ini.

"Sebab itu, saya minta orang Melayu beri peluang kepada Umno untuk lakukan perubahan melalui pimpinan baru ini.

"Saya tidak kata Umno parti yang sempurna tetapi kekuatan Umno adalah kerana ia nampak kelemahan dan segera lakukan perubahan," katanya.

Ezam berkata, hal itu berbeza dengan PKR hanya akan menutup sebarang masalah yang dihadapi mereka dan ini terbukti melalui negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat yang sering menghadapi dan melalui peletakan jawatan dua pemimpin parti itu tanpa sebab yang jelas iaitu V Arumugam sebagai sebagai ADUN Bukit Selambau dan Exco Kerajaan Negeri Kedah dan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 dan Exco negeri.

"Selain itu, PKR kini bukanlah seperti yang mula-mula ditubuhkan dahulu di mana saya adalah antara pengasasnya.

"Dulu PKR juga adalah untuk berbilang kaum tetapi tunggaknya adalah Melayu.

"Setiap parti itu perlu ada tunggak supaya asasnya itu tidak menyimpang tetapi kini, semata-mata untuk mendapat undi masyarakat Cina dan India, Anwar sanggup memadamkan tunggak itu.

"Ia bukan kerana beliau sayangkan kaum Cina dan India, tetapi semata-mata hanya untuk kepentingan mendapatkan undi," katanya.

Disebabkan beliau muncul memberi ceramah setiap kali pilihan raya kecil, Ezam memberitahu, beliau didakwa oleh PKR sebagai seorang yang diperalatkan Umno.

"Saya nak beritahu, jika saya dianggap begitu kerana membela bangsa, agama dan negara saya, saya rela diperalatkan," katanya.

Beliau turut menyatakan kesediannya untuk berdebat dengan Anwar bagi menangkis tuduhan itu serta mengupas pelbagai permasalahan politik yang berlaku dalam negara pada masa ini.

"Saya sedia berdebat tetapi hanya dengan Anwar... bukan dengan pemimpin lain," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan