Bukit Gantang: BN 'mohon restu rakyat' PAS kata referendum

Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Sementara PAS dan Pakatan Rakyat terus melihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang sebagai referendum terhadap Barisan Nasional (BN) yang dikecam mengambil alih kerajaan negeri secara paksaan, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan 7 April ini tidak wajar dianggap pungutan suara terhadap BN.

Poster-poster kempen BN yang tertera wajah calonnya dan Zambry di sini turut membawa slogan "Mohon Restu Rakyat".

Bagaimanapun PAS menegaskan pihaknya tetap menganggap kemenangan calon mereka sebagai referendum berhubung krisIs politik, sebaliknya tidak melihat sebagai keputusan yang mengesahkan kerajaan BN jika pun hari penentuan tidak memihak mereka.

"Bagaimana anda boleh menganggap ini sebagai satu referendum... pilihan raya kecil Bukit Gantang hanya satu pilihan raya kecil...bukannya pilihan raya umum yang tidak mewakili pandangan keseluruhan rakyat Perak," kata Zambry ketika ditemui pada hari kedua kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Zambry mengakui bahawa Pakatan Rakyat menggunakan istilah referendum dengan mengatakan bahawa keputusan pilihan raya ini akan menggambarkan sokongan rakyat terhadap perubahan kuasa kerajaan negeri kepada BN 5 Februari lalu.

"Mereka (Pakatan Rakyat) menggunakan perkataan ini tapi saya secara total tidak bersetuju dengan mereka," katanya.

Pengundian akan dijalankan pada 7 April ini.

BN meletakkan calon Ismail Saffian (BN), PAS diwakili Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Kamarul Ramizu Idris (Bebas).

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmuni Awi ketika ditemui hari ini menekankan, pilihan raya kecil ini merupakan manifestasi rakyat kepada apa yang berlaku di Perak.

"Kalau sokongan lebih tinggi bermakna rakyat sudah menyatakan sokongan kepada era perubahan yang dibawa PAS dan Pakatan Rakyat," kata beliau sambil menambah, "sepatutnya mengambil mesej daripada kemenangan ini."

Ketika ditanya sama ada akan menerima mesej bahawa rakyat menerima kerajaan negeri pimpinan BN yang berusia dua bulan jika keputusan tidak memihak kepada PAS, Asmuni yang juga Pengarah Operasi PAS Pilhan Raya Kecil memberitahu:

"Jika kalah, kita kena mengambil kira mengapa calon kita gagal, apakah faktor yang membawa kepada kekalahan itu," kata beliau tanpa menjelaskan dengan tepat pendirian pihaknya jika keputusan tidak memihak kepada Pakatan Rakyat.

Ketika ditanya sama ada yakin akan menang di sebalik krisis politik ini, Asmuni berkata, PAS mempunyai peluang yang cerah tetapi tidak mahu terlampau yakin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan