BN dan PKR dihantui calon Bebas di Bukit Selambau

Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

CALON BN dan PKR..Datuk S.Ganesan dan calon PKR S.Manikumar akan berhadapan dengan saingan 13 calon Bebas yang turut bertanding di DUN Bukit Selambau.
CALON BN dan PKR..Datuk S.Ganesan dan calon PKR S.Manikumar akan berhadapan dengan saingan 13 calon Bebas yang turut bertanding di DUN Bukit Selambau.

SUNGAI PETANI: Banyaknya calon Bebas bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau 7 April depan adalah manifestasi suasana politik di Kedah yang masih tidak menentu, kata penganalisis politik tempatan hari ini.

Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruq, pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) berkata 13 calon Bebas yang bertanding bersama calon Barisan Nasional Datuk S.Ganesan dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Manikumar akan mengakibatkan undi berpecah kepada banyak calon.

"Tetapi sekiranya BN menang, maknanya trend pengundi berubah kepada BN selepas kalah di Kuala Terengganu dan Permatang Pauh. Inilah yang diingini BN iaitu melihat perubahan trend pengundi," katanya kepada Bernama di sini.

Dr Azeem Fazwan berkata penyertaan banyak calon Bebas mungkin mencerminkan wujudnya perpecahan ekoran tidak dapat menerima calon yang dikemukakan parti dominan seperti PKR dan BN.

"Apabila parti bertanding memberi calon yang pada pandangan kumpulan tertentu tidak dapat diterima oleh mereka, maka timbullah calon Bebas... cuma sukar dipastikan mereka didalangi oleh sesiapa.

"Ini menunjukkan masyarakat itu berpecah kepada banyak puak," katanya.

Beliau berkata jika BN menang, ia juga boleh diterjemahkan sebagai penerimaan pengundi Bukit Selambau terhadap barisan baru pucuk pimpinan Umno yang dipilih pada Perhimpunan Agung yang baru berakhir.

Bagaimanapun, katanya, isu di Bukit Selambau lebih merupakan permasalahan tempatan dan bukannya isu nasional.

Beliau menjangka perpecahan dalaman PKR ketika kini mampu memberikan kelebihan kepada BN untuk menang.

Dr Azeem Fazwan menjangka pengundi Melayu yang merupakan separuh daripada 35,140 pemilih berdaftar bakal menjadi penentu pada 7 April nanti.

Ini kerana, katanya "mood" pengundi India yang merupakan 29.5 peratus pengundi sukar diramal walaupun ada kecenderungan mereka bersikap "antiestablishment".

"Tetapi kita tidak boleh jangka juga kerana mood mungkin berubah selepas Kedah dikuasai kerajaan Pas sejak pilihan raya umum tahun lepas," katanya.

Pengundi Cina pula merupakan 19.3 peratus manakala yang lain mewakili satu peratus daripada jumlah pengundi.

Pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman menyifatkan banyaknya calon Bebas memberi peluang kepada BN memenangi pilihan raya kecil itu.

"BN mempunyai saluran kempen yang lebih meluas berbanding calon Bebas yang ramai. Kebanyakan pengundi Bukit Selambau tinggal di pedalaman dan jumlah calon Bebas yang ramai boleh mengelirukan mereka," katanya.

Beliau juga setuju bahawa perpecahan dalam PKR juga sedikit sebanyak membantu calon BN untuk menang.

Bagaimanapun Ahmad Nidzamuddin tidak menafikan kemungkinan calon Bebas memenangi kerusi Bukit Selambau berdasarkan keputusan pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Sementara itu, tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata penyertaan calon Bebas yang banyak itu tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air.

"Saya tak tau apa strategi di sebalik semua ini. Politik dulu bukan macam sekarang kerana orang dulu tak begitu kompleks," katanya.

Beliau berkata kebiasaannya pilihan raya akan melibat pertandingan dua atau tiga penjuru sahaja.

Khoo berkata, ada ketikanya terdapat percaturan untuk menggalakkan seorang calon Bebas bertanding bagi memecah undi dan mereka sering kali ditaja oleh pihak tertentu tetapi sekarang ini dengan 13 calon Bebas, ia sudah menjadi terlampau kompleks.

Calon Bebas yang bertanding ialah R. Loganathan (lambang kelapa sawit), Tan Hock Huat (kunci), Radzi Md Lazim (kerusi), Mohd Fadzil Abdul Wahab (kepala harimau), Abdul Rahim Abu (jam loceng), L. Sarala (basikal), A. Jayagopal (payung), S. Moganakumar (buku), Khamis Awang (ayam jantan), Husaini Yaacob (bas), M. Vanesan (ikan), Mejar (B) Anuar Abd Hamid (telefon) dan T.Chandrarajan (kapal terbang).

Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau diadakan berikutan perletakan jawatan V. Arumugam (PKR) pada 8 Feb lepas.

Arumugum memenangi kerusi itu atas tiket Bebas dengan menewaskan calon BN S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan