Norraesah wanita tunggal dalam MT Umno

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Norraesah Mohamad menerima kemenangannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, dan calon tunggal wanita yang dipilih, dengan perasaan gembira bercampur kecewa.

"Walaupun saya gembira terpilih tetapi saya mesti katakan saya amat kecewa bahawa seorang sahaja (wanita) yang terpilih. Seorang saja yang mahu membawa suara yang begitu ramai sekali," katanya kepada pemberita selepas pengumuman barisan anggota MT yang baru malam tadi.

Pemilihan barisan kepimpinan Umno itu berlangsung semalam pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Norraseah malah memperbaiki kedudukannya selepas menyandang jawatan itu sejak pemilihan Umno 2004 dengan menduduki tempat ke20 setelah meraih 1,402 undi. Kali ini beliau memperoleh 1,611 dan menduduki tempat ke16 daripada 25 kerusi yang dipertandingkan.

Bekas senator dan tokoh korporat itu berkata anggota perwakilan kali ini, dalam keghairahan membuat pilihan, terlupa kepada satu aset yang bernama wanita, yang merupakan 50 peratus pengundi di negara ini.

Wanita juga merupakan anggota terbesar Umno berjumlah 1.5 juta jika dicampurkan anggota Pergerakan Wanita dan Puteri, katanya. Termasuk Norraesah, enam calon wanita beradu nasib, untuk pemilihan kali ini.

Yang lain terdiri daripada penyandang, Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad (anggota MT kerana memegang jawatan Ketua Puteri), anggota parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Seorang lagi anggota MT wanita untuk penggal 20042008, selain Norraseah dan Azalina, ialah Ketua Wanita yang baru dipilih Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ditanya apakah faktor kemenangan beliau kali ini, Norraesah berkata kemungkinan anggota perwakilan melihat beliau sebagai seorang yang mempunyai latar belakang ekonomi dan kewangan yang akan dapat membantu kerajaan menangani krisis ekonomi global ketika ini.

Berkelulusan Doktor Falsafah dalam Ekonomi Antarabangsa dan Kewangan dari French University, Norraesah yakin mampu menyumbang idea dan penyelesaian bermakna terhadap sesuatu perkara.

Beliau berkata Umno memerlukan lebih ramai wanita menganggotai platform pembuat dasar supaya apa juga kepentingan dan keperluan wanita dapat didengar.

"Saya mesti kuat. Suara saya, walaupun seorang diri, haruslah lantang, tegas dan efektif," katanya.

Beliau berharap Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal menjadi Perdana Menteri, dapat memberi tempat kepada calon wanita yang menawar diri dalam pemilihan MT kali ini sebagai menteri kabinet.

Ditanya sekiranya bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz patut dilantik sebagai menteri kabinet, beliau berkata: "Itu adalah hak kuasa PM.

"Ia sesuatu yang positif bagi saya kerana dia sudah tunjukkan kebolehan yang cemerlang di masa lalu. Sekiranya diangkat, ia sesuatu yang harus diterima baik oleh wanita seluruh Malaysia."

"Kalau satu saja wanita dalam platform membuat dasar maka ini tidak seimbang dan tidak bersesuaian dengan jumlah wanita yang begitu besar di negara ini," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan