Abdullah hadiri jamuan Jasamu Dikenang

Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam tadi menghadiri majlis jamuan Jasamu Dikenang sebagai mengenang jasa beliau selama memegang tampuk presiden Umno sejak tahun 2003.

Majlis itu yang menggantikan majlis jamuan presiden yang lazimnya diadakan pada setaip Perhimpunan Agung Umno, dimulakan dengan persembahan nyanyian kumpulan Swarasa yang diiringi Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah.

Timbalan Perdana Menteri dan presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib serta kira-kira 2,000 perwakilan dan jemputan hadir pada majlis itu.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Semasa hadirin menjamu selera, majlis diserikan dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar lama Abdullah sejak mula berkhidmat dengan kerajaan dan Umno dengan berlatarbelakangkan lagu "Masihkah Kau Ingat" karya kumpulan Kopratasa.

Empat buah puisi bertajuk Bintang Hadhari, Percakapan Cinta kepada seorang Khalifah 1 dan 2 dan Potret Perjuangan turut dideklamasikan oleh Lt Kol Mohd Radzi Hamid, Tengku Khalidah Bidin dan ASP Rosbaini Kassim.

Penyanyi terkenal Ramli Sarip turut menyampaikan lagu puisi bertajuk "Ku Cari Damai Abadi' yang mengembalikan nostalgia Perdana Menteri yang membacakannya semasa beliau mulamula menjadi presiden parti dan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Umno.

Abdullah kelihatan ceria walaupun terdapat beberapa hadirin yang tersentuh dengan persembahan di atas pentas.

Perdana Menteri turut menerima empat cenderamata daripada anggota Umno seluruh negara termasuk sebilah keris bersarung berwarna emas yang disampaikan oleh Najib. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan