UMNO dicadang laksana pelan pemutihan banteras gejala negatif

Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umno digesa melaksanakan Pelan Pemutihan yang berteraskan nilai-nilai Islam bagi membanteras nilai-nilai menyimpang yang mulai menular dalam parti itu.

Wakil Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Razali Ibrahim yang juga Naib Ketua Pemuda Umno yang baru berkata Umno ketika ini dicengkam dengan pelbagai nilai yang bertentangan dengan budayanya seperti politik wang, cantas-mencantas dan fitnah-memfitnah.

"Jika wang digunakan untuk mendapat tempat, maka berputarlah wang tadi matlamatnya wang, caranya wang, dipilih sebab wang, memilih untuk mendapat wang.

"Apa yang diambil kira ialah sama ada perjuangan itu bakal mendapat habuan atau kontrak," katanya ketika membentangkan usul terima kasih ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Oleh itu, Pelan Pemutihan merupakan soal paling asas untuk membanteras semua gejala negatif itu kerana nilai-nilai moral dan etika sejagat sahaja tidak mampu membendungnya tanpa bersanggakan nilainilai Islam, kata Razali yang juga Ketua Umno Bahagian Muar.

Katanya peraturan Umno bagi mengawal soal moral dan integriti anggota parti juga adalah tidak memadai memandangkan perkara berkenaan integriti itu menyentuh soal keperibadian.

Ketua Umno Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang menyokong usul itu berkata pelan itu perlu dilaksanakan secara radikal dan menyeluruh termasuk meminda perlembagaan parti agar elemen politiking keterlaluan yang boleh menyebabkan perpecahan dalaman parti akan dapat dikurangkan, kalaupun tidak dapat dihapuskan sama sekali.

Sementara proses memperkasa parti pula harus menitikberatkan pewujudan serta peningkatan program latihan dan perkaderan secara berkala kepada anggota parti terutama Pemuda dan Puteri, katanya.

Justeru itu, beliau berkata Umno perlu lebih giat mendekati dan menjelaskan isuisu terkini kepada rakyat khususnya generasi muda melalui media alternatif seperti khidmat pesanan ringkas (SMs) dan blog.

Katanya, parti telah kehilangan banyak sokongan rakyat kerana persepsi bahawa parti itu tersasar daripada matlamat dan asas perjuangannya.

Katanya, Umno dilihat terlalu 'syok sendiri' dengan pergolakan politik dalaman, perebutan jawatan di setiap peringkat kepimpinan, sombong kuasa, menyalahgunakan jawatan dan kuasa untuk kepentingan diri dan kroni serta pelbagai persepsi negatif lain.

Sebaliknya, beliau berkata pembangkang berjaya memanfaatkan peluang itu dalam membentuk perasaan serta sentimen 'membenci' Umno dan BN kerana kelemahan menangani isu-isu sensitif yang menyentuh kepentingan serta hak-hak rakyat.

"Antara kita dan rakyat semacam ada hijab dan jurang pemisah dan kita yang duduk di singgahsana kuasa yang empuk dilihat tidak lagi memahami hati budi serta perasaan rakyat," katanya.

Katanya, amat mendukacitakan jika anggota parti gagal mengambil iktibar daripada pengalaman pahit dan perit kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan terus bercakaran di peringkat kepimpinan negeri dan bahagian. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan