Ong ketuai jawatankuasa khas transformasi MCA

Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Kiat akan mengetuai jawatankuasa khas bagi menyelaras proses transformasi dalam menggariskan halatuju parti dan matlamat yang jelas dalam bidangbidang khusus.

Ong berkata jawatankuasa itu akan memberi tumpuan kepada aspek antara lain meningkatkan pendidikan politik di kalangan ahli dan pemimpin serta melaksanakan kajian dan menyemak semula sokongan akar umbi di kesemua kawasan pilihan raya yang diperuntukan kepada MCA.

"Tindakan ini bagi membolehkan kami merangka semula strategi untuk mendapatkan semula sokongan pada pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di sini semalam.

Beliau, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata jawatankuasa itu juga akan cuba mencari jalan untuk menguruskan keahlian parti dan aset secara lebih profesional serta menjalankan pengauditan menyeluruh kesemua aset parti.

Ong juga menjelaskan kesemua Ahli Parlimen dan Senator dari MCA juga akan diminta supaya mengkhusus dalam bidang kepakaran tertentu supaya dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.

Selain itu, mesyuarat jawatankuasa pusat itu membincangkan keputusan menggandakan levi pekerja asing dan isu kadar tol serta akan mengemukakan cadangan balas kepada kerajaan pusat mengenainya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan