Perubahan dalam Umno mungkin disusuli parti komponen lain

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seruan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan dalam Umno dilihat sebagai satu perubahan yang mungkin akan disusuli oleh lain-lain parti komponen Barisan Nasional (BN), menurut beberapa penganalisis politik di luar Umno hari ini.

Timbalan Perdana Menteri pada majlis perasmian serentak persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008 semalam menyarankan agar Umno mengkaji semula perlembagaan parti dalam aspek proses pemilihan kepimpinan parti bagi memastikan lebih ramai anggota dari semua peringkat dapat menyertainya, sebagai salah satu langkah membendung politik wang.

MCA contohnya sudah mengetengahkan idea mengenai perkara ini semasa kepimpinan baru mengambil alih pentadbiran parti pada Oktober lepas.

Apabila Datuk Seri Ong Tee Keat dipilih ke jawatan Presiden MCA, beliau sudah melihat kemungkinan meminda perlembagaan parti dalam usaha mengadakan pemilihan parti yang lebih terus.

Pengerusi Majlis Veteran MCA Datuk Yap Pian Hon berkata MCA yang memiliki jumlah perwakilan pusat yang sama dengan Umno, sudah pun melihat caracara untuk membenarkan anggota sehingga di peringkat cawangan untuk membuat pilihan calon presiden mereka, bagi menggantikan amalan semasa di mana anggota diwakili oleh perwakilan yang dipilih oleh peringkat bahagian.

"Sekurangkurangnya menerusi langkah yang lebih terbuka ini, ia dapat menangani isu mengenai hak asasi anggota parti. Katakan dalam kumpulan mereka yang berumur lingkungan 30an, mereka pastinya tidak akan terpilih menjadi perwakilan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

"Sekiranya terdapat 40 cawangan dalam satu bahagian tertentu, katakan bahagian itu berjaya mengawal 30 daripada mereka, ini bermakna ia boleh memilih penyokongnya untuk menjadi perwakilan," tambahnya.

Menurutnya MCA juga sedang melihat kemungkinan membenarkan diadakan proses pemilihan bagi jawatan pengerusi negerinegeri, yang ketika ini dilantik secara terus oleh presiden.

Kecuali Gerakan, kebanyakan parti anggota komponen BN mengamalkan sistem di mana bahagian memiliki kawalan lebih luas dalam menentukan perwakilan pusat, sekaligus mewujudkan 'puakpuak tertentu'.

Beberapa pemimpin Gerakan sebelum ini dilaporkan berkata kecenderungan untuk politik wang akan dapat dikurangkan apabila perwakilan dipilih dari akar umbi di peringkat cawangan.

Bagaimanapun bagi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), saranan perwakilan peringkat akar umbi bukanlah sesuatu yang asing memandangkan kini sudah ada beberapa cadangan dalam parti untuk membenarkan pemilihan dibuat secara terus, atau sekurangkurangnya meluaskan lagi sistem pemilihan pemimpin.

"Kami masih memikirkan perkara itu. Sebagai sebuah parti politik, kami perlu berubah dan sekiranya majoriti anggota merasakan kami perlu melakukannya, mengapa tidak?

Bagi saya tidak ada sistem yang kekal selamanya," kata Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan Hong Nam kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan