Malaysia akan terus perangi ketidakadilan, kata Najib

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memerangi sebarang ketidakadilan terhadap kemanusiaan, khususnya membabitkan rakyat Palestin sekarang dengan apa juga cara yang termampu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia harus menegakkan prinsip keadilan itu untuk semua tanpa mengambil kira agama mahupun kumpulan etnik.

"Rakyat Palestin layak dan patut mendapat hak keadilan. Adalah tidak wajar kita sebut tentang prinsip kemanusiaan dan keadilan kalaulah prinsip keadilan dan kemanusiaan ini hanya dirasai sebahagian rakyat dunia dan sebahagian lain tidak merasainya.

"Soal keadilan bukan hak mana-mana kelompok manusia. Ia adalah hak semua rakyat, semua manusia di mana saja tidak kira agama, tidak kira kumpulan etnik atau apa-apa pertimbangan," katanya berucap melancarkan Pameran Pembunuhan di Gaza di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini sempena Perhimpunan Agung Umno.

Timbalan Presiden Umno itu berkata Malaysia mesti menunjukkan bahawa hak tersebut bukan hanya untuk yang kuat semata-mata ataupun mereka yang mendapat sokongan kuasa-kuasa besar sahaja, sedang mereka yang lemah dinafikan.

"Inilah prinsip ketidakadilan yang mesti diperangi kita semua. Mudahmudahan menerusi usaha yang kita lakukan hari ini, pameran seperti ini boleh mempengaruhi pendapat dunia dan masyarakat umum.

"Pameran ini satu usaha yang disumbangkan oleh Malaysia untuk rakyat Palestin mendapat hak kedaulatan dan hak keadilan yang telah dinafikan selama ini," katanya.

Najib berkata Malaysia juga akan meneruskan usaha untuk membawa rejim zionis Israel ke muka pengadilan.

Beliau juga mahu usaha meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kekejaman rejim zionis ke atas rakyat Palestin digiatkan seperti mana yang diputuskan dalam resolusi pada persidangan khas Dewan Rakyat pada 12 Jan lalu. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri juga berterima kasih dan berbangga dengan kesediaan rakyat Malaysia untuk membantu dan menghulurkan sumbangan pelbagai bentuk bagi mereka yang dilanda bencana dan malapetaka.

"Saya fikir berasaskan saiz negara Malaysia seramai 27 juta orang, barangkali kitalah negara yang paling prihatin terhadap permasalahan kemanusiaan yang berlaku," katanya.

Najib juga secara berseloroh menyatakan pameran tersebut adalah 'modal kecil' Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden Umno.

"Pameran ini juga barangkalilah modal kecil Datuk Rais untuk bertanding jawatan naib presiden Umno. Mudah-mudahan ada jugalah berkat pameran ini diadakan," kata Najib disambut tepukan gemuruh mereka yang hadir. Rais yang turut hadir pada majlis itu ketika mengulas kenyataan Najib itu, berkata segalanya terserah kepada perwakilan.

"Cuma saya sangat terharu atas kesediaan beliau untuk bersamasama kami pada petang ini sedangkan ini majlis bersifat kemanusiaan. Boleh juga dianggap sedemikian, gambaran dalam ucapan beliau itu memberi keteguhan kepada perjuangan, khususnya kepada saya sendiri," katanya.

Mengulas mengenai pameran itu yang dianjurkan bersama Kementerian Luar, Kementerian Penerangan dan Yayasan Salam Malaysia, Rais berkata sebahagian besar gambar yang dipamerkan hari ini akan dibawa ke London untuk tatapan masyarakat di sana.

"Di sana juga kita akan adakan satu forum yang akan disertai oleh (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) dan tidak kurang daripada enam orang kenamaan Britain untuk membincangkan jalan keluar supaya suara untuk menghadapkan Israel ke muka pengadilan dunia ini berterusan," katanya.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa rejim zionis Israel ke muka pengadilan sama ada di Konvensyen Hak Asasi Manusia dan seterusnya ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Ini tidak mudah sebab kita tidak mempunyai status ataupun kedudukan yang membolehkan kita membawa secara langsung, oleh itu kita perlu mendapatkan sokongan pelbagai pihak, terutama negara-negara yang bersimpati," katanya.

Pada pameran yang berlangsung di aras tiga PWTC, kira-kira 100 keping gambar kekejaman rejim zionis di Tebing Gaza koleksi Yayasan Salam dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dipamer untuk tatapan umum. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan