Keris 'kontroversi' Panca Warisan 'dihadiahkan' kepada Hishammuddin

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keris kontroversi 'Panca Warisan' yang membayangi Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno dua tahun lalu tidak lagi bersama sayap parti itu tahun ini.

Sebaliknya keris tersebut dihadiahkan kepada Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai simbolik membawa semangat perjuangan Pemuda ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau kemudian mengucup keris tersebut dan tidak menjulangnya sebagaimana dilakukan sebelum ini.

Hishammuuddin yang melepaskan jawatannya dengan tidak bertanding kali ini, menerima keris berkenaan daripada Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin selepas menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda pukul 10.35 pagi.

Menteri Pelajaran itu bertanding jawatan Naib Presiden umno, esok.

Isu keris Panca Warisan penah mencetuskan kontroversi apabila Hishammuddin mencium dan menghunuskan keris berkenaan dalam Persidangan Agung Umno 2007.

Tindakan Hishammuddin itu telah mengundang reaksi banyak pihak terutamya pembangkang yang mengaitkan seolah-olah Umno memerangi kaum-kaum lain.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai Ketua Pemuda, Hishammuddin turut menasihatkan kepada barisan kepimpinan baru yang akan menerajui sayap paling lantang parti itu supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran yang akan dihadapi pada masa akan datang.

"Kita mesti merapatkan perjuangan agar sentiasa bersedia menghadapi saingan dan cabaran," katanya.

Beliau turut menegaskan sepanjang 11 tahun beliau memimpin parti itu, beliau tidak pernah mengkhianati orang Melayu.

"Saya sedar banyak SMS (khidmat pesanan ringkas) dan surat layang disebarkan menyerang peribadi saya... saya menyerahkan kepada penilaian Ilahi yang Maha Mengetahui.

"Bahawa, dalam diri cucunda Datuk Onn (Jaafar pengasas Umno) ini, mengalir darah perjuangan Melayu yang sejati berpaksikan kepada keluhuran nilai dan idealisme murni.

"Saya sama sekali tidak akan menderhakai wadah perjuangan yang diwarisi daripada nenda dan ayahanda saya. Saya sama sekali tidak akan mengkhianati perjuangan Melayu," katanya disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan