Amanat Hishamuddin satu tanggungjawab berat

Diterbitkan: Rabu, 25 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga calon yang bertanding untuk jawatan ketua pergerakan Pemuda Umno sependapat bahawa amanat ketua pergerakan itu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan dasarnya hari ini merupakan satu mesej jelas mengenai tanggungjawab berat yang akan diserahkan kepada kepimpinan pergerakan itu nanti.

Naib ketua pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, Hishammuddin banyak menyentuh mengenai pentingnya pergerakan itu untuk terus mendekati generasi muda dan menarik minat mereka menyertai perjuangan Umno.

"Oleh itu saya nampak Datuk Hishammuddin sendiri akan jadi satu jambatan hubungan yang penting bagi Pemuda dan juga parti induk sebagai naib presiden," katanya.

Pagi ini Hishammuddin dalam ucapannya di persidangan Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Dewan Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, antara lain meminta barisan kepimpinan pergerakan itu berusaha menarik minat golongan muda untuk menyertai Umno dan menyemarakkan semangat berkhidmat kepada parti.

Hishammuddin merupakan salah seorang daripada calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden pada perhimpunan agung Umno kali ini.

Khairy berkata beliau akan memastikan amanat Hishammuddin itu dilaksanakan, tanpa mengira sama ada beliau terpilih sebagai ketua Pemuda yang baru ataupun tidak.

Sementara itu anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir pula berpendapat bahawa legasi kepimpinan Hishammuddin harus diteruskan dan ditambah nilai bagi membolehkan sokongan khususnya golongan muda berpihak kepada Umno dan Barisan Nasional.

"Kalau tidak kerana kepimpinan beliau selama ini, saya kira Pemuda tidak akan jadi seperti apa yang kita nikmati sekarang. Saya amat-amat berterima kasih kepada Hishammuddin di atas kepimpinan beliau yang begitu mantap, ikhlas dan begitu strategik selama ini," kata beliau yang juga calon Ketua Pemuda Umno.

Seorang lagi calon ketua Pemuda Umno Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula berkata Hishammuddin dalam ucapannya itu turut memberi penekanan mengenai kepentingan Pemuda Umno menampilkan barisan kepimpinan yang berpengalaman dan matang bagi memperkukuhkan lagi pergerakan itu pada masa depan.

Katanya, Hishammuddin juga mengingatkan bahawa pergerakan itu memerlukan barisan kepimpinan yang mampu meneruskan perjuangan dan tidak mengkhianati parti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan