Lima Exco PKR jadi mangsa, siapa menyusul?

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

EXCO KONTROVERSI...(Dari kiri) Elizabeth Wong, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu, Jamaluddin Mohd. Radzi, V. Arumugam dan Mohammad Fairus Khairuddin.
EXCO KONTROVERSI...(Dari kiri) Elizabeth Wong, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu, Jamaluddin Mohd. Radzi, V. Arumugam dan Mohammad Fairus Khairuddin.

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Dalam tempoh setahun lalu, lima Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat khususnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilanda kontroversi dengan empat daripada mereka telah meletakkan jawatan masing-masing.

Terbaru ialah Mohammad Fairus Khairuddin yang semalam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Penganalsis melihat perkembangan itu termasuk yang terbaru melibatkan Fairus sebagai bukan sesuatu yang mengejutkan kerana desas-desus mengenainya sudah mula kedengaran sejak Disember lalu.

Minggu ini, kemungkinan esok Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memutuskan nasib Exconya, Elizabeth Wong.

mStar Online difahamkan kemungkinan beliau akan menerima hasrat beliau untuk melepaskan jawatan Exco, sebaliknya akan meminta kekal sebagai ADUN Bukit Lanjan.

[EXCO PKR DILANDA KONTROVERSI]

- Elizabeth Wong: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar (gambar bogel, hasrat letak jawatan)

- Jamaluddin Mohd. Radzi: Pengerusi Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Perusahaan (kes mahkamah rasuah, letak jawatan ekoran krisis politik)

- Kapten (B) Mohd Osman Mohd Jailu: Pengerusi Pelancongan, Modal Insan dan NGO (kes mahkamah rasuah, letak jawatan ekoran krisis politik).

- V. Arumugam:Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India (letak jawatan Exco dan ADUN)

- Mohammad Fairus KhairuddinPengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Pembangunan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat (letak jawatan Exco, kekal ADUN)

Mengulas mengenai perkembangan terbaru ini, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, wujud desakan daripada PKR supaya Fairus melepaskan jawatan itu walaupun pimpinan parti itu menafikannya.

"Ada banyak faktor yang menyebabkan beliau meletak jawatan.

"Antaranya masyarakat di DUN Penanti yang diwakilinya tidak berpuas hati dengan beliau kerana tidak menjalankan tugas sebagai ADUN dengan baik.

"Selain itu, dalam PKR sendiri wujud kumpulan-kumpulan yang mendesak beliau supaya meletak jawatan," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Sebab sebenar peletakan jawatan itu masih belum diketahui walaupun secara umumnya, Fairus yang merupakan ADUN PKR memberi alasan bahawa beliau ingin melanjutkan pengajiannya ke peringkat pascasiswazah.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengesahkan bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan Fairus pagi semalam melalui faks.

Bagaimanapun Fairus masih kekal sebagai ADUN Penanti.

Sementara itu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memberitahu, Fairus meletakkan jawatan kerana ingin melanjutkan pelajarannya.

Mengulas lanjut, Dr. Azeem berkata, ketokohan Fairus menjawat jawatan itu telah mula dipersoalkan sebaik selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Beliau dilihat tidak mempunyai ketokohan memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dan hal ini bukan baru, sudah pun hampir setahun.

"Jadi peletakan jawatan itu bukan sesuatu yang mengejutkan tetapi ia berlaku agak lewat daripada yang dijangka," katanya.

Beliau berkata, pemilihan Fairus mungkin dilakukan sekadar 'tangkap muat' kerana PKR sendiri tidak menjangka gabungan parti itu dengan DAP dan PAS akan menawan Pulau Pinang.

"Masalah dalam PKR ini adalah mereka tidak mempunyai hala tuju dan jika kita lihat struktur partinya adalah tidak tidak formal seperti BN (Barisan Nasional).

"Pada mulanya, ia diwujudkan untuk memperjuangkan pembebasan Anwar dan kemudian mereka bergabung pula dengan Parti Rakyat Malaysia yang memperjuangkan sosialis.

"Selain itu, tidak salah kalau saya katakan bahawa PKR juga adalah parti serpihan Umno kerana kebanyakan ahlinya adalah bekas penyokong setia Anwar sejak dalam Umno lagi," katanya.

Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, alasan berhubung peletakan jawatan Mohamad Fairus tidak dijelaskan secara nyata menyebabkan ramai yang tertanya-tanya.

"Alasan melanjutkan pelajaran itu hanya alasan 'lapisan pertama' dan saya tahu, ramai percaya ada 'lapisan kedua' alasan itu iaitu sebab sebenar mengapa beliau meletak jawatan.

"Saya percaya, ada sesuatu yang tidak didedahkan sehingga mendesak beliau meletak jawatan," katanya.

Beliau berkata, Fairus kemungkinan telah melakukan kesalahan yang tidak boleh dikompromi lagi kerana jika ia kesalahan kecil, kemungkinan beliau hanya perlu diberikan amaran.

Selain itu katanya, terdapat sebilangan masyarakat Melayu yang tidak gembira dengan dengan perkhidmatan yang diberikan Fairus sebagai wakil kaum Melayu di negeri itu.

"Beliau dikatakan tidak turun ke padang untuk melawat masyarakat dan tidak menangani isu-isu berbangkit dengan baik," katanya.

Ahmad Nizammuddin berkata, pada ketika ini, apa yang boleh dilakukan PKR hanyalah menutup cerita sebenar di sebalik peletakan jawatan itu.

"Tapi nanti orang akan tahu juga dan mereka pun kini dah nampak goyah.

"Pada pilihan raya yang akan datang, mereka seharusnya mencari calon yang benar-benar layak untuk diketengahkan," katanya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Kolumnis

iklan

Iklan