Hasutan: Kes Karpal disebut semula 22 April

Diterbitkan: Isnin, 23 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan membabitkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bulan lalu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 22 April ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah menetapkan tarikh sebutan semula kes dan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh tersebut.

Azman juga membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Ketika pertuduhan dibacakan, Karpal, 69, mengaku tidak bersalah buat kali kedua terhadap kes tersebut dan minta dibicarakan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup sementara Karpal mewakili diri sendiri dengan dibantu 10 peguam lain.

Mereka terdiri daripada tiga orang anak ahli Parlimen Bukit Gelugor tersebut, Gobind Singh Deo, Ram Karpal Singh dan Sangeep Kaur. Peguam lain adalah RSN Rayer, Sakaran Nair,M. Kulasegaran, Ramesh Sivakumar, K A Ramu, Lim Lip Eng dan M. Manogaran.

Bagaimanapun, dua daripadanya, Imtiaz Malik dan Jagdeep Singh Deo tidak hadir ketika prosiding hari ini.

Menurut Karpal, beliau memerlukan tempoh dua hingga tiga minggu untuk meneliti dokumen yang berkaitan dengan kesnya.

Hakim akan menetapkan tarikh perbicaraan ketika sebutan semula kes.

Antara pemimpin DAP yang hadir di mahkamah ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan ADUN Jelutong, Jeff Ooi Chin Aun.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu pernah dituduh di Mahkamah Sesyen di bawah seksyen yang sama pada 15 Januari, 2000 kerana kenyataan hasutan mengenai keracunan arsenik semasa perbicaraan Pemimpin Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan itu pada 2003.

[BERITA TERDAHULU]

Dakwaan hasutan: Kes Karpal disebut di Mahkamah Tinggi hari ini

KUALA LUMPUR: Kes Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan membabitkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bulan lalu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi di sini, pagi ini.

Karpal tiba di mahkamah pada pukul 9.15 pagi bersama anak perempuannya yang juga seorang peguam, Sangeep Kaur.

Selasa lalu, Karpal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya di Mahkamah Sesyen.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)B Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Karpal dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat kemudiannya memutuskan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas menerima permohonan daripada pihak pendakwaan.

Pada 6 Februari lalu, Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor didakwa telah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak dalam satu sidang media di pejabatnya di Jalan Pudu Lama, di sini.

Karpal mendakwa Sultan Perak bertindak di luar bidang kuasanya dan membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan