Kesan Ali Rustam digugur, Muhammad Taib berpeluang 'tawan' Timbalan Presiden Umno

Diterbitkan: Khamis, 19 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dilihat mempunyai peluang untuk memenangi jawatan itu pada pemilihan parti minggu depan kata Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman.

Beliau berkata, Muhammad Taib mungkin akan mendapat 'undi terpijak' daripada penyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin melucutkan kelayakannya untuk bertanding.

"Peluang Muhammad Taib secara tidak langsung sangat cerah untuk menang dalam pemilihan nanti," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengumumkan bahawa Mohd Ali dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti setelah beliau didapati melakukan kesalahan mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno, yang melibatkan politik wang.

Tambah Ahmad, penyokong Mohd Ali berkemungkinan menyalurkan perasaan marah mereka dengan cara memberikan kemenangan kepada Muhd Taib.

"Cara mereka tunjukkan perasaan marah saya yakin tidaklah sampai hendak keluar parti, sebalinya mereka pasti akan berikan kemenangan kepada calon bukan pilihan," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, ini tidak bermakna tindakan sedemikian menggambarkan mereka tidak suka atau wujudnya unsur tidak sihat dengan seorang lagi calon bagi jawatan itu iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya fikir mereka tidak akan pilih Muhyiddin bukan sebab mereka tidak suka beliau, tapi kerana sebelum ini Mohd Ali dan Muhyiddin dilihat calon pilihan bagi jawatan berkenaan.

"Jadi logiknya, untuk puaskan hati, pasti mereka akan undi calon 'underdog' bagi elakkan calon yang satu lagi menang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai keputusan Lembaga Disiplin Umno semalam, Ahmad berkata lembaga itu nyata dilihat tidak konsisten dalam membuat keputusan berhubung kesalahan politik wang yang melibatkan beberapa pemimpin.

"Nampaknya ada banyak versi hukuman bagi sesuatu kesalahan, ada yang dihalang bertanding dan ada juga yang hanya diberi amaran.

"Kalau dulu (Tan Sri) Isa Samad digantung keahlian, lucut jawatan, tapi kali ini pemimpin yang bersalah hanya hilang kelayakan bertanding," katanya.

Kata beliau lagi tindakan sedemikian menunjukkan keputusan berat sebelah yang memihak kepada individu-individu tertentu.

Ditanya sama ada penubuhan Lembaga Disiplin Umno yang bertujuan memantau perlakuan ahli-ahlinya termasuk gejala rasuah politik masih relevan, beliau berkata ia perkara tersebut perlu dilihat dari pelbagai aspek.

"Usaha untuk memastikan disiplin ahli terkawal ia memang baik untuk parti, tapi bagi saya jika ia melibatkan politik wang atau rasuah, mereka harus membuka pintu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat," katanya.

Jelasnya tindakan Umno yang tidak membenarkan masalah dalaman parti dibawa keluar untuk disiasat dilihat seperti mengenepikan undang-undang.

"Budaya selesai dari dalam jelas seperti tidak mendokong undang-undang.

"Rasuah tetap rasuah, bila ada kes rasuah maknanya automatiklah SPRM yang perlu siasat... tapi masalahnya Umno tak benarkan," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan