Sujatha dihantar ke HTAR elak kerenah birokrasi - Dr Sakthiveloo

Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pakar perubatan mengesyorkan K. Sujatha dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengelak kerenah birokrasi dan membolehkan beliau memantau keadaan aktres tempatan itu yang terminum racun perosak.

Dr S.P. hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau memberi nasihat itu kepada saudaranya, Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Berhad, S. Vell Paari, pada pukul 6 petang, 19 Jun, 2007, bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan kelewatan di HKL.

"Oleh kerana saya berkhidmat di HTAR, saya boleh melepasi birokrasi bagi kes seperti itu dengan membawa dia (Sujatha) terus ke zon kuning berbanding ke kaunter saringan yang dikendalikan oleh seorang pembantu perubatan," katanya.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis sama ada ia adalah lebih mudah untuk Sujatha dirawat di HKL kerana hospital itu dilengkapi dengan kemudahan kecemasan yang terbaik dan pusat rujukan, Dr Sakthiveloo berkata perjalanan ke HKL akan mengambil masa kirakira 20 minit dan tambahan 20 hingga 25 minit lagi di kaunter saringan.

"Dalam perjalanan ke hospital Klang yang mengambil masa 45 minit, saya sudahpun menghubungi doktor di Jabatan Kecemasan supaya menyediakan terlebih dahulu penawar dan rawatan bagi mencuci perut Sujatha sebaik pesakit tiba," katanya.

Ditanya oleh Fernandis oleh kerana dia berkhidmat dengan hospital kerajaan, dia boleh melakukan aturan sama dengan HKL bagi mengelak kaunter saringan, katanya beliau tidak boleh memberi komen kerana tidak pernah melakukan aturan seperti itu.

Dr Sakthiveloo, 35, yang kini mempunyai klinik sendiri di Klang, berkata demikian ketika memberi keterangan pada prosiding inkues untuk menentukan punca kematian Sujatha, 28, pada 25 Jun 2007.

Menjawab soalan lain, katanya oleh kerana kes Sujatha merupakan kes undangundang dan perubatan (medicolegal) yang memerlukan meterai rasmi polis pada borang pendaftaran masuk menandakan ianya kes polis, kebiasaannya ia dilakukan oleh kerani atau jururawat di Jabatan Kecemasan.

Dalam isu berlainan, Dr Sakthiveloo mengakui tidak ada sampel air kencing dan darah dihantar untuk saringan mengesan bahan toksik.

"Sampel pencucian kaviti tubuh seperti mencuci kandungan dalam perut, kencing dan sampel darah dilakukan tetapi bukan untuk saringan mengesan bahan toksik," katanya.

Dr Sakthiveloo memberitahu Koroner Mohd Fauzi Che Abu pada sepanjang tempoh masa (selama lima hari), beliau sentiasa dimaklumkan mengenai keadaan Sujatha dan juga memantau perkembangan rawatan tersebut.

Mengenai bedah siasat, katanya, pada kebiasaan kes "medicolegal", jika punca kematian diketahui, polis tidak akan memohon untuk mengadakan bedah siasat. Dalam kes Sujatha, katanya, beliau tidak sedar bahawa polis telah memohon mengadakan bedah siasat, sehingga sebulan kemudian.

Bagaimanapun, katanya daripada rekod perubatan, salah seorang anggota keluarga mendiang telah memohon supaya bedah siasat tidak dijalankan.

Dr Sakthiveloo bersetuju dengan cadangan Fernandis bahawa jika bedah siasat dijalankan, mungkin ada keterangan jelas bahawa kematian Sujatha adalah akibat terminum racun perosak.

Semasa soal balas oleh Datuk K. Kumaraendran, yang mewakili Vell Paari, Dr Sakthiveloo berkata selain beliau, lima pakar lain telah merawat Sujatha di HTAR.

"Kebiasaan, mereka mempunyai pandangan sama bahawa Sujatha telah minum racun perosak berdasarkan kesan ke atas tubuhnya," katanya.

Katanya hasilnya mungkin sama jika Sujatha dimasukkan ke HKL.

Bagaimanapun, Dr Sakthiveloo tidak bersetuju bahawa Sujatha mungkin terminum racun perosak secara tidak sedar.

Katanya, ia berdasarkan tiga faktor iaitu:

* Aktres itu meminum dua atau tiga teguk racun persoak

* Wujud bau racun

*Ada keterangan bahawa mendiang minum racun perosak terus dari botol.

Prosiding inkues bersambung 21 April ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan