Bakal PM: Zaid mahu Yang di-Pertuan Agong pilih "calon rakyat"

Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR Ketika tinggal beberapa hari sebelum Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berharap Yang di-Pertuan Agong akan melantik pengganti yang benar-benar dapat memenuhi kehendak rakyat jelata.

"Budi bicara melantik seorang Perdana Menteri yang akan menggantikan Abdullah terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

"Walaupun Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perlembagaan diperlukan untuk melantik seorang yang memperoleh keyakinan majoriti anggota Parlimen, ia hanya satu bentuk keputusan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Berucap pada majlis anjuran Rotary Club di sini, Zaid yang meletakkan jawatan ekoran isu syor pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun lalu memberitahu, tidak pernah dalam sejarah negara Yang di-Pertuan Agong diletakkan dengan tugas amat berat bagi Seri Paduka membuat keputusan berani dan yang tepat.

Tiada peruntukan perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Presiden Umno sebagai Perdana Menteri, kata beliau.

"Terdapat anggota-anggota Parlimen daripada kalangan Ahli Parlimen Umno yang layak untuk menjadi Perdana Menteri bagi membolehkan kita keluar daripada suasana yang tidak jelas," kata beliau yang juga bekas Ahli Parlimen.

Kata beliau, Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang rakyat boleh berharap tanpa sebarang kesangsian.

"Seseorang yang mereka boleh percaya dan boleh hormat. Seseorang yang tiada skandal untuk beralih daripadanya dan oleh itu memperoleh penghormatan daripada masyarakat antarabangsa," katanya.

"Ini merupakan antara suasana sukar dan perlu bersedia untuk berhadapan dengan suasana lebih buruk yang bakal dialami.

"Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang boleh menyatukan negara bagi menghadapi suasana malang. Kita akan lemah jika berpecah," kata bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.

Zaid telah dipecat dari Umno tahun lalu memberitahu, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang bakal menggantikan Abdullah akan memecahbelahkan rakyat negara ini.

Sebelum itu beliau melepaskan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan anggota Senat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan