Aduan Karpal: Laporan siasatan dijangka minggu depan

Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau menjangkakan keputusan laporan jawatankuasa khas menyiasat aduan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) berhubung insiden kekecohan di pintu masuk bangunan Parlimen bulan lalu akan diketahui minggu hadapan.

Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata, perkara itu dijangka akan dibawa ke dalam persidangan Dewan Rakyat.

"Kita jangka pada minggu depan, perkara ini akan dibangkitkan di dalam Dewan iaitu rumusan kepada siasatan yang dijalankan," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat aduan Karpal berhubung kekecohan yang berlaku antara Pengerusi DAP itu dengan beberapa ahli Pemuda Umno pada 26 Februari lalu di pintu masuk bangunan Parlimen.

Kekecohan itu berlaku disebabkan tindakan Pemuda Umno yang menuntut permohonan maaf daripada Karpal kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap Pemuda.

Keadaan menjadi kecoh apabila beberapa orang ahli Parlimen masuk campur dan berlaku insiden tolak menolak sesama mereka.

Mukhriz berkata, empat Ketua Pemuda yang terlibat dalam kekecohan itu memberikan keterangan kepada jawatankuasa itu hari ini.

Katanya, apa yang dilaporkan oleh Karpal yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor adalah tidak tepat dan peluang untuk memberi keterangan mengenai insiden itu amat dialu-alukan.

"Seperti yang kita maklum, jawatankuasa khas telah panggil empat ahli Pemuda Umno untuk siasatan lanjutan mengenai insiden yang berlaku di depan pintu Parlimen dua minggu lepas.

"Kehadiran keempat-empat anggota kita di mesyuarat tersebut membuktikan kita tak lari dari tanggungjawab dan ia memberi peluang kepada mereka untuk memberi penjelasan dan saya kira sekarang ini terletak ditangan jawatankuasa khas tersebut untuk mengambil tindakan seperti mana yang diharap-harapkan," katanya.

Mukhriz berkata, Pemuda Umno tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melontarkan fitnah dan tohmahan kepada Pemuda dan akan bersuara lantang menentang.

"Pada masa yang sama kita juga sentiasa mempertahankan pendekatan yang berhemah. Apa yang berlaku perlu penjelasan kerana saya fikir apa yang dilaporkan ada yang tidak begitu tepat dan kerana itu peluang yang diberi jawatankuasa untuk memberi penjelasan adalah sesuatu yang dialu-alukan," katanya.

Ditanya adakah Karpal menggunakan keistimewaannya sebagai ahli Parlimen untuk membuat kenyataan sedemikian kepada Pemuda Umno, Mukhriz berkata imuniti perlu digunakan dengan penuh bertanggungjawab dan tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya.

"Saya pun bersetuju agar imuniti ini dikekalkan dalam Dewan Rakyat tetapi ia perlu diiringi tanggungjawab. Sampai sekarang ini sudah bibit-bibit supaya dicadangkan agar imuniti ini dimansuhkan. "Saya fikir dengan imuniti ini kita bebas berhujah di Dewan Rakyat tapi biarlah dengan sopan santun agar negara kita lebih dikenali," katanya.

Berhubung tindakan ahli Parlimen pembangkang yang menarik diri daripada jawatankuasa itu, beliau tidak menolak kemungkinan ianya adalah satu taktik pembangkang untuk menidakkan kredibiliti jawatankuasa itu.

"Saya rasa terkilan kerana pihak pembangkang tidak hadir pada mesyuarat itu walaupun mereka dijemput.

"Jadi ini mungkin satu taktik untuk menidakkan kredibiliti jawatankuasa tersebut. Kita akan lihat nanti apabila perkara ini dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat," katanya. Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin itu turut dianggotai timbalannya Datuk Dr Ronald Kiandee selaku Timbalan Pengerusi, selain turut dianggotai Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat).

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan