Politik wang: Ali Rustam serah kepada Lembaga Disiplin

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk memberikan jawapan berhubung desas desus terdapat pemimpin kanan Umno akan dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang.

"Saya serahkan press (media) dapat jawapan daripada Lembaga Disiplin, itu kena tanya Lembaga Disiplin," kata Mohd Ali yang merupakan calon Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Umno minggu depan.

Dalam pada itu, menjelang sidang media khas oleh Lembaga Disiplin yang akan diadakan pada pukul 4 petang ini bagi mengumumkan hasil siasatan berhubung pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dengan politik wang, kira-kira 25 anggota polis melakukan kawalan di hadapan ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, di sini.

Kawalan itu diadakan bermula pukul 2.30 petang tadi berikutan desas-desus mengatakan terdapat penyokong-penyokong pemimpin-pemimpin Umno yang akan dikenakan tindakan hari ini dipercayai termasuk Mohd Ali akan mengadakan tunjuk perasaan.

Mohd Ali, yang kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum, ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Melaka di kediaman rasmi beliau di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama setengah jam bermula pukul 10 pagi itu untuk membincangkan persiapan Umno Melaka ke perhimpunan Agung Umno akhir bulan ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat Lembaga Disiplin Umno petang ini, Mohd Ali, yang juga Naib Presiden Umno, berkata beliau akan berada di Ipoh Perak petang ini untuk menghadiri majlis memperkenalkan calon Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Ditanya sekiranya beliau dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin, beliau berkata : "Itu pun anda perlu tanya Lembaga Disiplin dan tunggu Lembaga Disiplin buat keputusan.

"Kita kena hormati lembaga disiplin, mana boleh cakap sebarangan nanti tidak elok," katanya.

Terdahulu, beliau dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Istana Melaka, Bukit Beruang.

"Saya memang selalu jumpa Mohd Khalil, kadang kala empat kali sehari pun ada, tidak ada apaapa biasa saja," kata Mohd Ali.

Kira-kira 100 penyokong beliau berada di kediamannya untuk memberi sokongan kepadanya berhubung isu berkenaan.

Beberapa pemimpin Umno kelihatan bersalaman dan berpelukan dengan Mohd Ali.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan