Pembangkang 'pulau' jawatankuasa siasat pergaduhan di Parlimen

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR Anggota Parlimen dari parti pembangkang diminta jangan mempertikai keputusan yang akan diambil nanti oleh Jawatankuasa Khas yang menyiasat berhubung aduan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh mengenai perbuatan menghina Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini ekoran tindakan tiga anggota pembangkang yang menjadi anggota jawatankuasa berkenaan tidak menghadiri mesyuarat hari ini dan sekali gus menarik diri daripada menjadi anggota jawatankuasa itu.

Beliau berkata, tiga anggota jawatankuasa dari parti pembangkang yang tidak hadir dan menarik diri ialah Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat).

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada 26 Februari lepas bagi menyiasat aduan Karpal mengenai menghina ke atas Dewan Rakyat itu dianggotai Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku pengerusi dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ronald Kiandee selaku Timbalan Pengerusi.

Anggota lain ialah Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong). Nazri berkata: "Kita telah jemput mereka hadir (tetapi), mereka memilih untuk tidak mahu ambil bahagian. Itu keputusan mereka, kita tidak boleh paksa."

"Apa sekali pun, keputusan yang diambil oleh jawatankuasa ini, ianya akan diputuskan oleh majlis juga dan akan dibawa ke dalam Dewan nanti.

"Dalam Dewan nanti, kita tengoklah sama ada dia orang nak walkout, nak biar kita bincang sesama BN saja... itu terpulang kepada merekalah. Ini demokrasi," kata Nazri kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, keanggotaan jawatankuasa yang sedia ada adalah mencukupi dan kekosongan itu tidak akan diisi oleh anggota parlimen dari Barisan Nasional (BN).

Jawatankuasa berkenaan boleh mengambil tindakan bersesuaian mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, katanya.

Mengulas mengenai sikap anggota pembangkang yang berterusan mempertikai cara menyelesaikan isu membabitkan Gobind dan Karpal, Mohamed Nazri berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbaik-baik semula dengan Karpal.

Sebelum ini, Karpal pernah membuat kenyataan bahawa Anwar tidak layak sebagai Ketua Pembangkang ekoran kejadian melompat parti di kalangan anggota pakatan pembangkang.

Berhubung penyelesaian isu membabitkan keduadua anggota parlimen pembangkang itu, Mohamed Nazri berkata, kedua-dua kejadian adalah berbeza di mana kes melibatkan Gobind berlaku di dalam Dewan manakala kes melibatkan Karpal berlaku di luar Dewan serta melibatkan orang luar yang bukan dari kalangan anggota Parlimen.

Katanya, tindakan yang dikenakan ke atas Gobind dibuat dalam Dewan Rakyat kerana perkara itu berlaku dalam Dewan dan dilihat oleh anggota Parlimen yang hadir sebagai saksi serta tercatat di dalam hansard Parlimen.

"Dalam kes Karpal pula, untuk kita terus mengambil tindakan dalam Dewan, kita perlu kepada fakta-fakta terlebih dahulu untuk disiasat.

"Sebab itu kita tubuh jawatankuasa khas ini dan sudah tentulah jawatankuasa itu akan mengambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi jawatankuasa khas Datuk Ronald Kiandee ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata, tiga orang telah hadir untuk memberikan keterangan iaitu Pembantu Khas Karpal, Michael Cornelius, serta dua pengawal keselamatan Parlimen Nurul Shida Kamarudin dan Rahmah Idrus.

Katanya, mesyuarat tetap dijalankan walaupun tiga anggota jawatankuasa itu yang terdiri daripada pembangkang tidak hadir memandangkan mesyuarat adalah sah kerana cukup korum.

"Kita belum ada keputusan lagi. Kita cuma dalam siasatan. Esok akan ada satu lagi mesyuarat, kita akan menimbang sama ada perlu memanggil saksi atau buat keputusan terhadap perkara itu, dan akan membuat laporan berhubung keputusan pada majlis untuk dibahas.

BERITA TERDAHULU

Tiga wakil pembangkang dalam jawatankuasa siasatan, yang dibentuk untuk menyiasat insiden pergaduan di bangunan Parlimen berhubung isu Karpal Singh tiga minggu lalu, hari ini memutuskan untuk menarik diri daripada menganggotai badan itu.

Mereka ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, R. Sivarasa dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

Ketiga-tiga mereka dilantik minggu lalu.

Keputusan itu diumumkan tidak sampai dua jam selepas Karpal yang juga Pengerusi Kebangsaan DAP dan menjadi tumpuan insiden tersebut, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung tuduhan mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan terhadap Sultan Perak.

Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, jawatankuasa khas itu yang menyiasat kes pergaduhan Pemuda Umno Selangor yang didakwa mengancam keselamatan Karpal sudah mengenal pasti saksi dan dalang yang mencetuskan kejadian tersebut.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan Datuk Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).

Pada 26 Februari lalu, Pandikar mengumumkan penubuhan jawatankuasa khusus bagi menyiasat tuduhan Karpal berikutan tindakan sekumpulan 15 ahli Pemuda Umno Selangor yang menghalang Pengerusi DAP itu memasuki bangunan Parlimen.

Mereka menuntut Karpal memohon maaf kerana mendakwa Pemuda Umno menghantar peluru kepadanya dan menggunakan perkataan 'celaka' terhadap mereka ketika berucap dalam Dewan Rakyat .

Kejadian mengakibatkan suasana tegang selama kira-kira 15 minit apabila berlaku cabar mencabar dan tolak menolak antara ahli Pemuda Umno dengan beberapa Ahli Parlimen daripada DAP termasuk anak Karpal, Gobind Singh Deo dari Puchong.

Selain itu, Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) dan R Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) mendakwa dikasari kumpulan Pemuda Umno itu apabila cuba membantu Karpal.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan