Didakwa keluar kenyataan hasutan, Karpal mengaku tidak salah

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DIDAKWA... Pengerusi Kebansgaan DAP, Karpal Singh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tuduhan menghasut dalam satu sidang akhbar berkaitan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari lalu. Karpal, yang juga seorang peguam, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - fotoBERNAMA
DIDAKWA... Pengerusi Kebansgaan DAP, Karpal Singh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap tuduhan menghasut dalam satu sidang akhbar berkaitan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari lalu. Karpal, yang juga seorang peguam, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI 2 PETANG] KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh pagi ini dikenakan tuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan membabitkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bulan lalu.

Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Ini kali kedua Karpal berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Kes beliau yang disebutkan di Mahkamah Sesyen akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kes ini muncul selepas lapan orang dihadapkan di Mahkamah Sesyen sejak Jumaat lalu berhubung tuduhan menghantar komen yang jelik ke laman web pejabat Sultan Perak dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1958 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. Salah seorang daripada mereka sudah pun mengaku bersalah.

KENYATAAN MENGHASUT

Berdasarkan tuduhan dibacakan, Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dalam satu sidang media berkaitan Sultan Perak di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini pada 6 Februari lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa di bawah Seksyen 4(1)B Akta Hasutan 1948.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Karpal dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Sekeri Mamat bersama transkrip sidang media Karpal tersebut yang didapati mengandungi kenyataannya untuk mendakwa Sultan Perak.

Karpal mendakwa Sultan Perak bertindak di luar bidang kuasanya dan membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.

Semasa prosiding hari ini, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Kamaludin Mohd Said turut memohon kepada mahkamah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi supaya mahkamah berkenaan menetapkan tarikh perbicaraannya.

Karpal tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim kemudiannya memutuskan kes itu disebut semula manakala tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

PASUKAN 12 PEGUAM

Karpal yang juga seorang peguam mewakili diri beliau pada prosiding hari ini.

Bagaimanapun seramai 12 yang lain menjadi peguam pembantu beliau termasuk empat anaknya iaitu Gobind Singh Deo, Jagdeep Singh Deo, Ram Karpal Singh dan Sangeep Kaur. Peguam lain adalah RSN Rayer, Sakaran Nair, Malik Imtiaz, M. Kulasegaran, Ramesh Sivakumar, K A Ramu, Lim Lip Eng dan M. Manogaran.

Menjelaskan tentang soal pemindahan kesnya ke Mahkamah Tinggi, Karpal berkata, berbanding jika dibicarakan di Mahkamah Sesyen, kes itu hanya boleh dibawa ke Mahkamah Rayuan.

"Saya rasa perkara ini perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi yang mana ia adalah perkara serius.

"Ia adalah perkara yang betul (memindahkan kes)," katanya.

Ditanya keputusannya untuk membela diri sendiri di mahkamah hari ini, Kapral berkata, beliau sememangnya sering membela diri sendiri dalam kes-kes sebelum ini.

"Tidak ada salahnya membela diri saya sendiri tapi saya akan dibantu peguam.

"Saya bersedia menghadapi tuduhan ini dan ini adalah kali kedua saya didakwa di bawah Akta Hasutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir pada prosiding hari ini berkata, beliau percaya yang tindakan mendakwa Karpal hari ini adalah usaha kerajaan untuk 'memburu' pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

"Dalam mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin Pakatan, saya memberitahu Lim Kit Siang tentang usul terhadap Gobind (penggantungan sidang selama setahun) dengan mengetahui cara prosedur itu dijalankan.

"Saya percaya mereka sedang 'memburu' pemimpin pembangkang kerana selepas beberapa jam kemudian, kita dengar pula tentang dakwaan ini.

"Kita harus bersedia dan kita akan mengadakan mesyuarat lagi hari ini," katanya.

Antara pemimpin-pemimpin Pakatan yang turut hadir di mahkamah adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tian Chua, Teresa Kok, Dr Tan Seng Giaw dan Ronnie Liu.

BERITA TERDAHULU

Karpal akan didakwa hari ini, sedia wakili diri sendiri

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh dijangka akan menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan hari ini atas dakwaan menghina Sultan Perak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta kerana mengancam untuk mendakwa Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang dikatakan bertindak di luar bidang kuasanya serta membenarkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru.

Beliau tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira pukul 9.15 pagi bersama dua anak lelakinya, Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo.

Karpal ketika ditemui sebelum memasuki mahkamah berkata beliau akan mewakili dirinya sendiri tetapi akan turut dibantu oleh peguam.

"Saya bersedia untuk menghadapi dakwaan hari ini," katanya.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir kira-kira pukul 10.20 pagi sebagai tanda sokongan pada prosiding hari ini dan dilihat berbua-bual bersama Karpal.

Bagaimanapun prosiding yang dijadual pada pukul 9 pagi masih belum bermula kerana urusan pendaftaran kes masih belum selesai.

Semalam anak lelaki beliau, Ram Karpal Singh mengesahkan bapanya menerima notis untuk hadir bagi menghadapi dakwaan mengikut Akta Hasutan.

"Kami dimaklumkan bahawa ia di bawah Akta Hasutan 1948 tetapi kami tidak tahu Seksyen mana...biasanya ia di bawah Seksyen 4," katanya.

Karpal dilaporkan mengeluarkan kenyataan tersebut pada 6 Februari lalu.

Ekoran itu, pelbagai parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil membuat laporan polis terhadap beliau di seluruh negara.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama Karpal menghadapi tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Karpal sebelum ini bertegas mahu memfailkan kes mahkamah ke atas Sultan Azlan Shah kerana menitahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau tetap mempertahankan pendiriannya untuk menyaman Sultan Perak dengan alasan tindakannya itu tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan