Ali Rustam lucut kelayakan tanding Timbalan Presiden

Diterbitkan: Selasa, 17 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PENGERUSI Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (paling kanan) ketika sidang media di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn di sini, hari ini. Turut hadir dua ahli Lembaga Disiplin, Tan Sri Megat Najmuddin Khas (dua kanan) dan Datuk Alias Ali (tiga kanan) fotoTHE STAR oleh NORAFIFI EHSAN
PENGERUSI Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen (paling kanan) ketika sidang media di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn di sini, hari ini. Turut hadir dua ahli Lembaga Disiplin, Tan Sri Megat Najmuddin Khas (dua kanan) dan Datuk Alias Ali (tiga kanan) fotoTHE STAR oleh NORAFIFI EHSAN

[DIKEMAS KINI 6.30 PETANG] KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam hari ini dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan kerana didapati bersalah melanggar peraturan kempen pemilihan parti.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, di sini, sebentar tadi.

Dengan keputusan itu, persaingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini melibatkan tiga penjuru kini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Bagaimanapun, perlucutan hak kelayakan bertanding itu tidak memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Ketua Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebentar tadi mengumumkan Mohd Ali kekal menjawat jawatan itu.

Mengulas lanjut terhadap tindakan yang dikenakan ke atas Mohd Ali, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, beliau didapati bersalah mengikut Perkara 10.1, Tata Etika Ahli Umno dan dijatuhkan hukuman dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden sahaja.

Katanya, keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin selepas mendapati Mohd Ali mempunyai kaitan dengan kesalahan politik yang dilakukan oleh ejen dan pelobi semasa proses pencalonan dan juga semasa berkempen.

"Beliau bersalah disebabkan ada sabit kesalahan, pekerja yang buat. Dia hanya disabitkan.

"Tiada kesalahan khusus atau terus yang dilakukan beliau," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali digantung keahlian, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya hanya melarang beliau daripada bertanding.

"Beliau hanya dilarang bertanding. Beliau masih lagi ahli Umno, masih lagi perwakilan dan masih layak bertanding," katanya.

Ditanya sama ada Mohd Ali boleh mengemukakan rayuan bagi membolehkan beliau bertanding, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, proses rayuan terpulang kepada individu berkenaan.

Katanya, kesalahan Mohd Ali banyak dipengaruhi oleh tindakan setiausaha politiknya, Saadun Basirun yang juga ahli Umno bahagian Bukit Katil.

Beliau berkata, Saadun turut didapati bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun.

Beliau berkata, sebanyak 29 kes disiasat oleh Lembaga Disiplin dan 15 daripadanya didapati bersalah.

Berikut adalah 13 lagi ahli-ahli Umno yang didapati bersalah.

Ahli-ahli yang digantung keahlian selama tiga tahun:

- Rosli Hasan (AJK bahagian Bukit Katil)

- Zalina Ismail (Naib Ketua Puteri bahagian Bukit Katil)

- Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi (Ketua Pemuda bahagian Maran)

- Datuk Japlin Akim (Ketua Pemuda negeri Sabah)

- Salmah Pin (Ketua Wanita bahagian Bandar Tun Razak)

Ahli-ahli yang digantung keahlian selama setahun:

- Datuk Mokhtar Samad (Ketua bahagian Bandar Tun Razak)

- Datuk Manan Ismail (ahli bahagian Paya Besar)

- Amran Mat (Timbalan Ketua Pemuda bahagian Kuala Krai)

- Mohd Zuki Mohd Zain (Ketua Cawangan Gua Musang)

- Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (Timbalan Ketua bahagian Paya Besar)

Ahli-ahli yang diberi amaran:

- Mohd Zali Besar (AJK bahagian Paya Besar)

- Mohd Shohaimi Jusoh (Naib Ketua bahagian Paya Besar)

- Khairy Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda dan Ketua Pemuda Rembau)

Berikut adalah 14 ahli-ahli Umno yang didapati tidak bersalah.

Ahli-ahli yang tidak bersalah:

- Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (Ahli MT, Ketua Bahagian Sungai Besar)

- Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak (Timbalan Ketua Bahagian & Ketua Pemuda Bahagian Jerantut)

- Mohd Nor Othman (Ahli Umno Hulu Langat)

- Datuk Paduka Md. Rozai Shafian (Ketua Bahagian Pendang)

- Shamsuddin Tahir (Timbalan Ketua Bahagian Pendang)

- Mohd Zaidi Othman (AJK Bahagian Pendang)

- Hanafi Mamat (Ketua Bahagian Pasir Mas)

- Shamsuddin Che Hussin (Timbalan Ketua Cawangan Pasir Mas)

- Saari Hassan (Timbalan Ketua Cawangan Pasir Mas)

- Nor Azmawi Ab. Rahman (AJK Pemuda Bahagian Pasir Mas)

- Anuar Safian (Ketua Pemuda Bahagian Kubang Kerian)

- Bakri Yusoff (Naib Ketua Pemuda Bahagian Kubang Kerian)

- Mohamad Shahaimi Othman (AJK Bahagian Maran)

- Mohd Shakir Abdul Rahman (Penolong Bendahari Pemuda Bahagian Johor Bharu)

Sementara itu, ketika ditanya sama ada keputusan yang diumumkan hari ini merupakan yang terakhir diumumkan Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithauddeen berkata: "Apa yang ada, itu sahaja."

Beliau juga berkata, semua individu yang tersenarai dalam siasatan telah dipanggil untuk memberikan penjelasan.

"Kita panggil mereka beri penjelasan sepanjang tempoh siasatan secara berperingkat, namun bagi mereka yang didapati bersalah, mereka gagal memberikan alasan yang munasabah," katanya.

Berhubung sama ada Lembaga Disiplin merujuk keputusan yang dibuat kepada pengurusan tertinggi parti, Tengku Ahmad Rithauddeen menafikan perkara itu.

"Ingin saya jelaskan di sini, kami merupakan badan bebas yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan