Gantung Gobind setahun setimpal tuduhan jahatnya - Nazri

Diterbitkan: Isnin, 16 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan Dewan Rakyat hari ini menggantung keanggotaan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) selama setahun adalah setimpal dengan kesalahannya membuat tuduhan "jahat" terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata hukuman yang berkuat-kuasa hari ini diputuskan selepas mengambil kira kesalahan Gobind yang menyalah guna kuasa sebagai Anggota Parlimen dengan membuat tuduhan serius serta berniat jahat terhadap Timbalan Perdana Menteri pada 12 Mac lepas.

"Saya rasa itu hukuman yang adil kepadanya dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dengan bukan sahaja menuduh Pekan (Najib adalah Anggota Parlimen Pekan), tetapi berdasarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga ketua Whip Barisan Nasional.

"Kita tak seharusnya menyalahgunakan perbahasan Dewan Rakyat, sepatutnya bertanya soalan bijak, (umpamanya) soalan mengenai ekonomi negara," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Gobind daripada menghadiri persidangannya selama setahun kerana mengeluarkan kenyataan di dalam Dewan dengan mendakwa Najib terlibat dalam kes pembunuhan.

Wakil DAP itu juga didakwa menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mohamed Nazri, yang bertanggungjawab terhadap Parlimen, ketika ditanya sama ada keputusan menggantung Gobind Singh itu dibincang secara langsung dengan Najib, berkata: "Saya berbincang dengan Speaker mengenai usul ini tetapi tidak berbincang dengannya (Najib)."

"Tidak adil untuk saya berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri kerana (usul ini) membabitkan beliau secara peribadi. Apa sahaja perbincangan (dengan Najib), orang akan melihat beliau mempengaruhi kerajaan," katanya.

Beliau berkata ketidakhadiran Najib ketika perbahasan usul itu hari ini bukan disebabkan kerana tidak berani untuk berhadapan dengan Anggota Parlimen sebaliknya akan menimbulkan percanggahan kepentingan dalam kalangan Anggota Parlimen.

Mohamed Nazri berkata Gobind tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana kenyataannya itu dibuat di dalam Dewan.

"Kalau di luar dewan, perkara itu akan disiasat. Tetapi ini berlaku di dalam Dewan di hadapan ramai Anggota Parlimen serta mempunyai rekod Hansard (cacatan perbahasan)," katanya.

Nazri juga berkata hukuman yang dikenakan terhadap Gobing Singh itu diambil dengan cepat bagi menangkis persepsi buruk dalam kalangan masyarakat.

"Kalau kali pertama kita tak ambil tindakan dan kali kedua dia buat perkara yang sama baru kita nak ambil tindakan, dia (Gobind) akan persoalkan kenapa kita tidak mengambil tindakan ketika pertama kali dia berbuat demikian," katanya.

Beliau juga berkata soal imuniti seseorang Anggota Parlimen tidak berbangkit dalam mengenakan sebarang hukuman ketika persidangan dewan berlangsung.

"Kita sekarang ini tak usah bangkit soal imuniti kerana imuniti itu releven kalau kita mahu juga nak dakwa dia (Gobind) di dalam mahkamah.

"Tapi Dalam dewan kita punyai hak untuk bincang dan putus tentang penyalahgunaan keistimewaan seorang Anggota Parlimen dalam Dewan," katanya.

Nazri ketika ditanya sama ada Gobind mempunyai peluang untuk membuat rayuan terhadap hukuman itu berkata keputusan itu adalah muktamad.

Gobind ketika ditemui di lobi Parlimen berkata beliau kecewa dengan keputusan itu memandangkan beliau tidak dibenarkan untuk membela diri dan memberi penjelasan.

"Saya hanya ingin katakan yang saya tidak membuat tuduhan melalui belakang (Anggota Parlimen) Pekan. Saya bertanya depan untuk meminta penjelasan. Bagaimanapun saya akan terus membuat kerja di kawasan saya," katanya. BERNAMA

BERITA TERDAHULU

Parlimen gantung Gobind satu tahun

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo daripada menghadiri sidang Dewan selama setahun berkuat-kuasa serta-merta.

Tindakan itu diambil ekoran Gobind mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbabit dalam kes pembunuhan dan juga menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 pada 12 Mac lepas.

Penggantungan itu diputuskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah pengundian sebulat suara daripada anggota Parlimen kerajaan yang hadir dalam persidangan Dewan hari ini.

Pandikar Amin mengumumkan keputusan berkenaan pada pukul 1 tengah hari.

Ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggulung perbahasan usul itu, anggota parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan selepas menimbulkan kekecohan kerana tidak puas hati Gobind tidak dibenarkan membela diri.

Terdahulu, Pandikar Amin berkata beliau meluluskan usul itu kerana berpendapat ia adalah kerana kepentingan umum yang membawa persepsi kepada masyarakat yang melihat gelagat anggota Parlimen.

"Saya dah baca peraturan mesyuarat 27 (3), 80 (1) dan 44 (8) yang mana membolehkan usul patut dibahaskan dalam Dewan ini.

"Ini adalah tafsiran saya dan saya nak ingatkan keputusan Speaker di bawah peraturan 43 harus diterima. Ini perkara yang ada kaitan dengan tabiat gelagat dan keceluparan anggota Dewan berlindung dalam Dewan dan bukannya berlaku di luar sana. Semua tahu perkara ini berlaku," katanya.

Beliau berkata beliau faham mengenai kebebasan bersuara dan keistimewaan anggota Parlimen tetapi mestilah dalam tanggungjawab sendiri.

"Ini berpunca daripada anggota Parlimen sendiri dan bukan daripada saya. Saya lakukan ini supaya tidak berlaku lagi perlanggaran peraturan mesyuarat. Majlis yang bersidang adalah lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Hak Kebebasan dan Keistimewaan yang diwujudkan sendiri," katanya.

Pandikar Amin berkata sama ada setuju atau tidak, Gobind juga enggan mengulangi kenyataan di luar Dewan seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar kerana dilindungi dalam Dewan.

Beliau berkata ini bermakna tindakan itu (yang tidak mahu mengulangi kenyataan di luar Dewan terhadap tuduhannya kepada Timbalan Perdana Menteri) berselindung di sebalik keistimewaannya sebagai anggota Dewan.

Beliau berkata beliau juga sudah membaca hansard (penyata rasmi Parlimen) pada hari berkenaan.

Beliau mendapati Anggota Parlimen itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (6) iaitu sangkaan jahat, 36 (4) bahasa kurang sopan, 36 (9) menyebut sifat dan kelakuan anggota Parlimen selain daripada menjalankan urusan, 36 (2) menyebut perkara dalam pertimbangan mahkamah, 36 (10) b dan c iaitu membangkitkan perasaan marah kepada kerajaan serta menaikkan perasaan antara kaum.

Perbahasan kemudian diteruskan dengan Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) mengambil giliran. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan