Samy Vellu bakal kekal terajui MIC

Diterbitkan: Ahad, 15 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MIC yang berkhidmat sejak sekian lama, Datuk Seri S. Samy Vellu bakal mengekalkan jawatan tertinggi parti untuk rekod penggal ke11 berturut-turut pada pencalonan Presiden MIC 22 Mac ini.

Sungguhpun pencalonan bagi pemilihan Presiden MIC itu tinggal seminggu saja lagi, khabar angin bertiup kencang bahawa pemimpin berusia 73 tahun itu yang meraikan ulang tahun kelahirannya pada 8 Mac, akan mengekalkan jawatannya tanpa tentangan.

Sumber mendedahkan bahawa 'pesaing' beliau Datuk M. Muthupalaniappan, yang menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan itu tahun lepas, berkemungkinan tidak dapat meraih 50 pencalonan yang diperlukan bagi melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Muthupalaniappan, menjelang proses pencalonan itu, telah beberapa kali menyatakan bahawa sistem yang digunakan oleh parti untuk melindungi pemimpinnya, terutamanya

Presiden parti, sudah ketinggalan zaman, tidak adil dan berat sebelah.

Samy Vellu, selaku penyandang, adalah Menteri Kerja Raya sebelum beliau kalah kerusi Parlimen Sungai Siput dalam pilihan raya umum 2008, menerajui parti politik berasaskan kaum India yang terbesar itu sejak 1979, apabila beliau menjadi pemangku Presiden berikutan kematian Presiden ketika itu, Tan Sri V. Manikavasagam.

Berdasarkan perlembagaan parti, seseorang yang berhasrat bertanding jawatan Presiden mesti memperoleh 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan lima penyokong bagi melayakkan diri bertanding.

Semua pencadang dan penyokong mestilah ketua cawangan.

Presiden MIC akan dipilih oleh kirakira 3,700 ketua cawangan di seluruh negara. Parti itu menetapkan 22 Mac untuk pencalonan bagi jawatan Presiden manakala pemilihan akan berlangsung pada 12 April.

Jika Samy Vellu menang tanpa bertanding andainya Muthupalaniappan gagal meraih 50 pencalonan yang diperlukan maka Presiden MIC akan diumumkan secara rasmi pada 22 Mac tarikh sama beliau secara rasminya menjadi pemimpin utama parti itu, 28 tahun lepas pada 1981.

Semua petunjuk menjurus ke arah Samy Vellu, yang kali terakhir dicabar untuk jawatan tertinggi MIC itu lebih 15 tahun, akan diumumkan secara rasmi sebagai Presiden pada 22 Mac ini.

Malah Muthupalaniappan, yang sungguhpun tidak menyerah kalah dalam persaingan itu, kelihatan lesu dalam kemuncak saingan ke atas Samy Vellu dan kumpulan orang kuatnya, kesemuanya anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, iaitu badan pembuat dasar tertinggi parti.

Ditanya mengenai peluangnya untuk memperoleh pencalonan dan bertanding bagi jawatan tertinggi MIC, Muthupalaniappan memberitahu Bernama bahawa usaha bersepadu oleh beberapa pemimpin parti bagi memastikan beliau tidak bertanding, nampaknya membuahkan hasil.

"Saya boleh katakan yang saya berdepan tugas getir. Untuk mendapatkan borang pencalonan pun sukar, apatah lagi untuk meminta ketua cawangan menandatanganinya. Ketua cawangan berasa takut.

"Malah jika berlaku pertandingan, saya yakin ada banyak lagi helah dalam kalangan beberapa pemimpin bagi memastikan Samy Vellu menang selesa," kata Muthupalaniappan, 66, bekas Naib Presiden MIC yang berasal dari Seremban.

Pemerhati politik berkata sebab bagi Samy Vellu kekal tanpa dicabar selama beberapa dekad ialah "naungan politik".

"Semua anggota CWC, kecuali dua orang dalam CWC sekarang, dimasukkan oleh beliau. Pada pemilihan parti yang lepas dan pemilihan sebelum itu, beliau akan memastikan pemimpin yang dipilihnya menduduki kerusi CWC. Mereka kemudiannya akan dilantik sebagai Ketua Perhubungan Negeri.

"Jika Samy Vellu terhidu ada orang yang cuba bermain politik dalaman, maka orang itu akan disingkirkan dengan menggunakan pelbagai alasan. Tiada tempat untuk mereka yang menentang. CWC MIC dianggap sebagai kelompok orang kuatnya yang bilabila masa saja bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Presiden," kata seorang ketua bahagian MIC, yang enggan dinamakan kerana bimbangkan akibatnya.

Beliau berkata anggota CWC ini yang dilantik sebagai Pengerusi Negeri untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan "memuaskan hati Presiden", sebaliknya akan memastikan semua pemimpin bahagian akur kepada arahan orang nombor satu MIC itu tanpa soal.

"Inilah sebabnya kenapa Muthupalaniappan mendapati sukar untuk mendapat 50 pencalonan yang diperlukan. Jika seseorang ketua cawangan menandatangani pencalonan untuknya, maka ketua cawangan terbabit akan segera dikepung oleh ketua bahagian dan dipaksa menandatangani satu lagi pencalonan untuk Samy Vellu. Secara automatik, pencalonan untuk Muthupalaniappan menjadi tidak sah kerana ketua cawangan itu menandatangani dua borang pencalonan," kata seorang veteran parti.

Pada kali ini, pemilihan presiden diadakan sebelum pemilihan peringkat bahagian, yang hanya akan diadakan bermula pada pertengahan April.

"Ini satu lagi taktik. Jika ketua cawangan dari bahagian tertentu tidak menyokong Samy Vellu, maka April ini, ketua bahagian berkenaan sudah tentu akan dicabar dan berkemungkinan kehilangan jawatannya. Cabaran akan datang daripada sesiapa sahaja yang menjadi penyokong akar umbi Samy Vellu.

"Jadi, dalam usaha mengekalkan jawatan masing-masing di peringkat bahagian, ketua bahagian bekerja keras untuk memuaskan hati Samy Vellu dengan memastikan semua ketua cawangan dalam bahagian mereka tidak mencalonkan Muthupalaniappan," kata seorang pemimpin kanan.

Beliau berkata pemilihan bahagian sepatutnya diadakan sebelum pemilihan Presiden, bukannya selepas, memandangkan ini membolehkan Samy Vellu untuk "mengugut secara politik" pemimpin bahagian.

Muthupalaniappan mendedahkan bahawa satu lagi sebab beliau berhempas pulas untuk meraih pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan tertinggi parti adalah kerana pemimpin bahagian, yang sepatutnya menjadi 'pegawai pilihan raya' semasa pemilihan presiden, telah menjadi pasukan kempen untuk Samy Vellu.

"Pemimpin bahagian sepatutnya menjadi pegawai pilihan raya dalam pemilihan presiden dan perkara ini tercatat dalam perlembagaan parti. Atas sebab itu, mereka tidak boleh dibenarkan berkempen. Mana boleh Suruhanjaya Pilihan Raya berkempen untuk calon tertentu?

"Tetapi inilah yang berlaku sekarang. Pemimpin bahagian memanggil mesyuarat bahagian dan meminta ketua bahagian menandatangani borang pencalonan untuk Samy Vellu. Sesiapa yang tidak tandatangan akan disenaraihitam. Nah, adakah ini demokrasi?," tanya Muthupalaniappan.

Beliau berkata Samy Vellu sepatutnya bertanding secara adil dalam pertandingan itu memandangkan pemimpin veteran itu mendakwa beliau "tidak goyah" dalam MIC.

"Jika beliau kuat seperti yang didakwanya, maka beliau tidak seharusnya bimbang dan menggunakan taktik seperti ini untuk mengekalkan jawatannya. Ayuh, bertandinglah secara sihat," gesa Muthupalaniappan. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan